DSP Sammy Newton, Ketua Polis Ranau
RANAU: Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, hari ini menafikan sekeras-kerasnya satu rakaman audio video adalah Ketua Polis Ranau.
Menurutnya, pada 21 Mac 2020 jam lebih kurang 5 petang, Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau telah terkesan satu penularan rakaman audio video berdurasi 1 minit 10 saat yang mengatakan bahawa Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau akan di isytiharkan darurat.
Beliau menegaskan, tiada pengisytiharan darurat seperti mana dalam audio video berkenaan.
“Apa yang berlaku dalam situasi ketika ini ialah, polis dalam usaha memperketatkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.
“Dalam tempoh itu, orang ramai perlu mematuhi arahan untuk duduk diam-diam di rumah. Jika ada pergerakan perlu mengikut garis panduan serta arahan polis,” jelasnya.
“Penularan audio video tersebut adalah tidak benar sama sekali dan pihak PDRM IPD Ranau memandang serius perkara tersebut yang mana disifatkan boleh membangkitkan kegusaran awam dan rasa panik dikalangan masyarakat.
“Justeru itu, saya menegaskan sekali lagi kepada mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menularkan apa sahaja perkara yang boleh mebangkitkan panik awam atau silap sangka terhadap situasi semasa dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di daerah ini.
Menurut DSP Sammy, apa-apa arahan atau perkembangan semasa mengenai situasi yang melanda daerah ini, pihak polis akan menggunakan langkah-langkah profesional yang sewajarnya tanpa mengambil kira perkara yang diluar bidang penugasan polis.
Tegas beliau, penularan audio video seperti mana yang sedang tular itu disifatkan suatu langkah tidak beretika oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan perundangan di bawah seksyen 233 akta komunikasi dan multimedia (akm) yang jika sabit kesalahan boleh di denda tidak melebihi rm 50,000.00 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya,” jelasnya.-
Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana individu yang melakukan perjalanan dalam negeri dinasihatkan mempamerkan dokumen seperti ‘Surat Pemberitahuan’ daripada majikan.
“Dokumen berkenaan hendaklah ditunjukan kepada anggota polis yang sedang bertugas. Pejalanan hendaklah diteruskan tanpa singgah,” jelasnya. –TAMAT–