GIMIK PERASMIAN… Datuk James Ratib (tengah) menyempurnakan gimik perasmian STBA 2023, diringi Kevin Lo Kian Min, YDP MTPN Sabah dan Dif-dif jemputan yang lain.
KOTA KINABALU: Seramai 41 pengusaha dan peniaga cemerlang telah dipilih dan diraihkan sebagai penerima Anugerah Sabah Trusted Brand Award (STBA) untuk tahun 2023.
Program penyampaian anugersh tersebut telah berlangsung dalam satu majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas kepada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah dan juga Yang Dipertua MTPN Sabah Kevin Lo di kerana memastikan majlis tersebut berjalan dengan jayanya.
“Saya difahamkan, penerima-penerima anugerah yang diraikan ini adalah mereka yang telah menunjukkan kecemerlangan serta komitmen yang tinggi dalam mengenal pasti dan mempromosikan perniagaan jenama tempatan selain menentukan tujuan, objektif dan nilai mereka kepada pengguna.
“Ia akan membantu pengguna memahami tujuan perniagaan jenama dan apa yang ingin dicapai serta untuk membantu kedua-dua pengguna dan SME membuat pilih yang terbaik dan cemerlang.
“Untuk makluman, kerajaan sentiasa komited dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan inovatif, seiringan dengan anugerah MTPN STBA pada hari ini,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Anugerah “Sabah Trusted Brand Award (STBA) 2023” yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) pada hari Ahad.
Beliau berharap bahawa program ini dapat menggalakkan para peniaga dan usahawan tempatan untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha bagi mempertingkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan yang berkualiti tinggi dalam mengutamakan jenama produk masing-masing.
KENANGAN..Para penerima anugerah STBA merakam gambar bersama Datuk James (duduk tengah) dan Dif-dif jemputan di SICC, Kota Kinabalu, pada Ahad
Ini, katanya, sekali gus menjadikan perkhidmatan para peniaga kekal sebagai perkhidmatan yang relevan dan diyakini oleh pengguna, serta menepati kehendak dan ekspektasi mereka.
Dalam pada itu, katanya, pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan semua usahawan tempatan untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan pengguna yang terbaik.
“Bagi pihak kementerian dan agensi di bawah saya, saya sentiasa menghargai pengorbanan dan usaha tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang komited dalam melakari dan menyelusuri kecemerlangan perkhidmatan dalam bidang masing-masing demi kejayaan diri, organisasi, bangsa dan negara.
“Semoga dengan pengiktirafan ini akan membangkitkan lagi semangat mencurahkan bakti kepada negara dan meningkatkan azam untuk berusaha dengan lebih gigih dan penuh iltizam pada masa akan datang bagi menaikkan jenama produk masing-masing di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat global,” kata beliau.
James menyeru kepada semua usahawan terbabit agar menjadikan anugerah itu sebagai titik tolak untuk terus memacu pencapaian perniagaan serta perkhidmatan pelanggan dengan lebih terkemuka setanding dengan pencapaian di negara-negara maju.
“Saya berharap mereka yang terpilih sebagai penerima anugerah pada malam ini seharusnya menjadi role model kepada yang lain untuk terus berusaha dengan gigih agar matlamat yang disasarkan tercapai,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, kajian yang dibuat oleh MTPN melalui aduan-aduan pengguna, menunjukkan kebanyakkan pengguna mempunyai masalah dengan peniaga yang tidak mengikuti kehendak dan kepuasan mereka dan mereka tidak tahu hak-hak mereka sebagai pengguna.
“Justeru, dengan adanya program sebegini sedikit sebanyak dapat membantu pengguna memilih perkhidmatan yang terbaik.
“Perkhidmatan yang sentiasa dekat dengan pengguna perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa menjadikan integriti sebagai teras utama dalam setiap praktisnya.
“Sehubungan itu, budaya kerja yang menggabungkan disiplin, tanggungjawab, integriti dan kebertanggungjawaban serta menjaga kerahsiaan perlu menjadi jati diri setiap peniaga dalam menjalankan urus niaga harian,” katanya.
James mencabar para pengusaha dan peniaga agar meneruskan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan yang berupaya membawa satu perubahan besar kepada negara dan seterusnya menjadi enjin yang memacu ekonomi tempatan, seterusnya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.