Rafie (tengah) bersama AJK Penganjur merakam gambar kenangan dengan para peserta kejohanan
KENINGAU: Kejohanan Taekwondo Piala Rafie Robert 2025, yang berlangsung di Dewan SMK Gunsanad II, Keningau menghimpunkan 350 peserta dari pelbagai kelab seluruh Sabah dan Sarawak.
Kejohanan itu menutup tirainya semalam dengan penuh semangat juang dan disiplin tinggi, menandakan kejayaan penganjuran acara berprestij ini di peringkat negeri.
Majlis penutupan rasmi disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, yang juga merupakan penaung kejohanan.
Turut hadir Presiden Kelab Taekwondo Aelma, merangkap Pengerusi Penganjur Kejohanan, Grandmaster Dr. Rajah, bersama pegawai, jurulatih, peserta, ibu bapa dan penyokong yang memenuhi dewan dengan sorakan penuh semangat kesukanan.
Majlis penutupan turut dimeriahkan dengan gimik “pecah papan” oleh Rafie Robert sebagai simbol keberanian dan semangat juang yang menjadi identiti arena Taekwondo.
Kejohanan ini menyaksikan persaingan sengit sepanjang pertandingan tetapi berteraskan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi.
Keputusan Keseluruhan Kejohanan menyaksikan Kelab Taekwondo Aelma (Master Erlie) muncul sebagai juara diikuti oleh Kelab Taekwondo Aelma (Master Aling) sebagai naib johan.
Manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh Kelab Taekwondo Aelma (Master Rostin) dan Unique Kan Taekwondo Club.
Antara kelab lain yang turut menyerlah termasuk Crocker Ranger Taekwondo, Kelab Taekwondo Chung Hwa Lawas, Kelab Taekwondo MTH, dan Kelab Taekwondo Lawas.
Menurut penganjur, kejohanan ini bukan sahaja memperkukuh semangat kesukanan dan disiplin, malah menjadi platform penting untuk melahirkan generasi pelapis baharu dalam sukan Taekwondo di Sabah dan Sarawak.



