ADVERTISEMENTspot_img

3,293 KIR terjejas banjir di Penampang terima bantuan BWI – Ewon

BANTUAN..Ewon menyampaikan bantuan kepada salah seorang KIR

PENAMPANG: Seramai 3,293 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di daerah ini pada 30 Jun hingga Julai tahun lalu menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) NADMA.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penyampaian bantuan berjumlah lebih RM3 juta itu dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini hingga lusa dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang (MPPg), bertempat di Dewan KDCA, Penampang.

“Bantuan ini tidak mungkin dapat menggantikan kerugian, trauma dan kepenatan yang dihadapai, tetapi bantuan ini menunjukkan komitmen pelbagai pihak untuk membantu penduduk terjejas banjir.

“Bantuan ini adalah hasil usaha dan kerjasama rentas agensi, dari pimpinan kepada penjawat awam di banyak kementerian, agensi dan jabatan dalam memastikan peruntukan bantuan dapat disalurkan dan disampaikan kepada KIR yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan itu, di Dewan KDCA, di sini, hari ini.

Ewon berkata, beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan bencana serta mengurangkan impak banjir di daerah Penampang.

“Antaranya termasuk pemasangan sistem amaran awal berupa siren di beberapa kampung yang sering terjejas seperti Kampung Kodundungan, Nambazan, Penampang Proper, Putaton, Kolopis dan Sugud.

“Langkah ini bertujuan memberi amaran lebih awal kepada penduduk untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 21 buah bangunan melibatkan sekolah, dewan masyarakat dan gereja di kawasan-kawasan berisiko tinggi kini dicadangkan untuk diwartakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau turut menegaskan pentingnya, projek-projek tebatan banjir yang sedang berjalan di bawah Pakej 1 dan Pakej 3, dan menyatakan bahawa projek-projek susulan juga sedang dirancang bagi melengkapkan usaha tersebut.

Dalam masa yang sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama MPPg terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan sistem saliran parit sebagai usaha jangka panjang mengurangkan risiko banjir berulang.

“Saya berharap dengan segala usaha ini, termasuk sokongan daripada semua pihak berkepentingan, kita dapat membendung risiko bencana banjir yang teruk seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN