Oleh: Cleo Will
BENGKEL Pengurusan dan Pemantapan Program Khidmat Bantu Di Rumah yang telah diadakan pada 17 – 19 Januari 2020 mengukir sejarah dalam kegiatan khidmat sosial di Negeri Sabah dimana seramai 60 sukarelawan dari seluruh Negeri yang mewakili 25 parlimen telah berkampung di The Palace Hotel, Kota Kinabalu dan membincangkan pergerakan program Khidmat Bantu Di Rumah di Negeri Sabah bagi tahun 2020.
Antara topik perbincangan dan pengisian dalam bengkel selama 3 hari ini adalah “Tanggungjawab petugas Prigram Khidmat Bantu Di Rumah”, “Psikologi Klien Dan Petugas KBDR”, dan “Pemakanan Sihat – luar biasa jadi kebiasaan”. Disamping itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) yang didatangkan khas dari putrajaya telah mengupas topik “KBDR 2020” membawa erti yang baru kepada Program ini di tahun yang semestinya menjadi penuh bermakna.

Program Khidmat Bantu Dirumah telah dijalankan di Negeri Sabah semenjak tahun 2014 dan sehingga tahun 2019, Negeri Sabah telah bergerak dengan jayanya bersama seramai 204 petugas di seluruh Sabah dibawah bimbingan enam penyelaras bahagian (Md. Shamsul Md. Rahmat – Pantai Timur Sabah, Mohd Halbi Abdul Hassan – Pedalaman Bawah, Jackson Sainggun- Pedalaman Atas, Barbarah Adam – Pantai Barat, Joseph Linggian- Kota Kinabalu dan Rick Elly Majanggong – Kudat), yang menyelaraskan pergerakan program bahagian masing-masing dan dikawal-selia oleh seorang Penyelaras Program Negeri, Roger Romeo.

Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah selaku Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang terpilih sebagai PSK Champion bagi melaksanakan Program KBDR Negeri Sabah telah menjalankan tanggungjawab semenjak tahun 2014 sehingga ke hari ini. Keberkesanan dan kejayaan dalam pergerakan program KBDR Negeri Sabah dibuktikan dengan pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS), Pencapaian yang boleh dibanggakan ini adalah hasil daripada kerjasama strategik diantara kedua agensi ini dan disokong oleh sukarelawan petugas dari seluruh pelusuk Negeri.

Bengkel Pengurusan dan Pemantapan Program Khidmat Bantu Di Rumah 2019/2020 ini diserikan lagi dengan Majlis Makan Malam Sukarelawan yang diadakan di Hotel yang sama pada 18 Januari 2020. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Puan Hajah Myrna Jimenez di penuhi dengan pengisian yang penuh warna dan keceriaan bagi meraikan petugas-petugas Program Khidmat Bantu Dirumah bagi tahun 2019.

Hajah Myrna di dalam ucapan beliau menyentuh akan kepentingan Pendampingan Sosial terhadap Klien Warga Emas dan Orang Kurang Upaya dan mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada setiap individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam menjayakan Program KBDR di Negeri Sabah. –TAMAT–