“Tangkapan terdiri 11 lelaki , satu (1) perempuan dan dua (2) kanak-kanak. Mereka ditahan kerana gagal menunjukan dokumen pengenalan diri yang sah,”
-DSP SAMMY NEWTON-
OLEH ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU – Seramai 14 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap daripada 157 orang yang diperiksa dalam operasi bersepadu di sini, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Polis (DSP) Sammy Newton berkata, jumlah tangkapan tersebut terdiri daripada tujuh (7) warga Filipina dan tujuh (7) warga Indonesia.
“Dari jumlah 14 yang ditahan, 11 daripadanya lelaki , satu (1) perempuan dan dua (2) kanak-kanak. Mereka ditahan kerana gagal menunjukan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua tangkapan kemudiannya telah diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Sammy, operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa buah rumah kongsi sekitar Kg Bongkud dan Kg Tanah Merah, bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 3 pagi itu, melibatkan 12 pegawai dan anggota Polis, dua pegawai Imigresen, dua pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 18 anggota RELA.
Sementara itu, Sammy menyeru orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak keselamatan sekiranya terkesan kehadiran PTI di kawasan masing-masing.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak bersekongkol atau melindungi mana-mana individu yang tidak mempunyai dokumen, terutamanya PTI bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil di bawah Akta Imigresen 1959/1963,” tegasnya.
Beliau juga berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan imigresen, JPN, RELA serta agensi keselamatan lain untuk mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap pada masa akan datang.- TAMAT–