POTONG…. beberapa pekerjas SESB sedang memotong bekalan elektrik di salah sebuah premis yang disyaki terlibat aktiviti judi haram.
LABUAN: Sebanyak 14 premis di sekitar pulau ini terpaksa bergelap apabila pihak Polis dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengambil tindakan memotong bekalan elektrik kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.
Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata daripada jumlah itu lima premis terletak di pusat bandar manakala selebihnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau kerjasama dengan SESB merupakan sebahagian daripada operasi berterusan polis untuk membanteras kegiatan perjudian haram di seluruh pulau bebas cukai itu.
SUPT.Ahmad Jawaila.
Jelasnya, operasi bersepadu yang bermula pada jam 10 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dengan kerjasama SESB.
“Pihak Polis akan terus bekerjasama dengan SESB akan untuk memotong bekalan elektrik di mana-mana premis (dengan segera) yang didapati menjalankan aktiviti perjudian haram.
“Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk meengambil tindakan untuk memotong bekalan elektrik dan kami juga optimis aktiviti haram itu dapat dilumpuhkan,” katanya dalam satu sidang media di sini, pagi ini.
Ahmad turut meminta orang ramai untuk tampil dan memberikan maklumat mengenai sebarang aktiviti perjudian haram di kawasan mereka.
Menurutnya tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh SESB dilakukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Hadir sama dalam operasi bersepadu itu, Pengurus Zon SESB Labuan Ir Abd Affidz Abd Mokmin.