LABUAN: Seramai 100 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah menyertai Program Aspirasi Merdeka secara maya (Google Meet) anjuran LABUANfm.
Pengarah Jabatan Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan, Aminah Samsudin Mohd berkata, program yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk menyemarakan semangat patriotik, cintakan Negara dan memupuk perpaduan kaum dan etnik menerusi kerjasama erat.
“Program ini juga merupakan antara tanggungjawab sosial LABUANfm kepada masyarakat bagi memangkin warga Labuan agar terus memperingati peristiwa bersejarah Negara mencapai kemerdekaan.
“Kali ini program Aspirasi Merdeka dilaksanakan dalam norma baharu tanpa perlu turun padang namun tetap berperanan menyampaikan maklumat dan hasrat kerajaan menyemarak sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya.
PESERTA… Aspirasi Merdeka yang diadakan secara maya.
Dua panel jemputan menjayakan program tersebut terdiri daripada Dr Nordi Achie, Pensyarah Kanan Pusat Penataran ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dengan tajuk ‘Merdekakah Kita?.
Seorang lagi ialah Mahathir Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Labuan bertajuk ‘Menarik dan Tertarik’.
Para peserta juga berpeluang mendengar penerangan ringkas berkenaan Kerjaya Dalam Sektor Pelancongan yang disampaikan oleh Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan Nor Hidayah Mohd Nor.
Aminah berharap, makna kemerdekaan dapat dihayati oleh kalangan remaja agar terus berusaha mengekal nikmat kemerdekaan dan bersyukur atas keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sehingga kini.