28 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

ZON UTARA JUARA KEJOHANAN BOLA SEPAK VETEREN PSKPP DAERAH

Gambar atas: Zon Utara (depan) Johan dan Zon Tengah (belakang) Naib Johan

Ranau: Perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Veteran Pesta Sukan Kebudayaan Pejabat Pendidikan (PSKPP) Peringkat Daerah Ranau yang berlangsung di Padang Pekan baru-baru ini berkesudahan dengan pasukan Zon Utara muncul selaku juara selepas menumpaskan pasukan Zon Tengah.

Pada minit-minit pertama perlawanan, gawang gol Zon Utara hampir-hampir dapat dibolosi oleh pemain penyerang berbisa Zon Tengah. Pascalis yang berjaya memperdayakan dua pertahanan pada minit ke-5 perlawanan melakukan rembatan kaki kanan ke arah pintu gol lawan namun sipi di sebelah kanan tiang gol. Zon Tengah sekali lagi mendapat peluang pada minit ke-9 apabila pemain tengah, Richi Suili berjaya merembat kencang ke arah pintu gol lawan namun tinggi di atas palang gol.

Sebelum perlawanan ditamatkan Zon Utara mendapat peluang keemasan pada minit ke-10 apabila salah seorang pemain Zon Utara dikasari oleh pertahanan Zon Tengah. Pemain Zon Utara, Jumil yang mengambil sepakan kira-kira 40 meter dari gawang gol lawan gagal menyempurnakan peluang apabila bola itu berjaya ditepis keluar oleh Shamrin, penjaga gol Zon Tengah. Masa pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Pada aksi babak kedua, perlawanan semakin sengit. Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang seimbang dan saling berbalas serangan. Pada minit ke-4 separuh masa kedua penyerang lincah Zon Utara, Ginus Sumail berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan Zon Tengah sebelum dia dijatuhkan di dalam kawasan kotak penalti. Fainor yang mengadili perlawanan itu tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Zon Utara.  

Sepakan penalti yang diberikan kepada Zon Utara itu tidak disia-siakan bila mana Weindery Madinchin (pemain pertahanan) berjaya meledakkan gol kemenangan ke arah kanan tiang gol menewaskan Shamrin seterusnya melakar dirinya sebagai penjaring terbanyak (4 gol) sepanjang kejohanan.

Terdahulu, perlawanan merebut tempat ketiga di antara pasukan Zon Garas dan Zon Timur berkesudahan dengan Zon Timur berjaya menewaskan pasukan Zon Garas melalui sepakan penalti dengan agregat 7 – 6. Sepakan penalti dijalankan apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan walaupun permainan diheret hingga ke ke tambahan masa.

Menurut Pengurus Teknik Veteren PSKPP Daerah, Geofrey Osman, kejohanan itu bertujuan memilih 22 orang wakil ke peringkat PSKPP negeri. Pihaknya pada kali ini akan menghantar dua pasukan ke peringkat PSKPP Negeri yang akan berpusat di Daerah Ranau sebagai tuan rumah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN