Zon Timur (berdiri di belakang) dan SK Lohan A, juara bola baling bawah 12
RANAU: Pasukan Zon Timur kategori perempuan dan pasukan Sekolah Kebangsaan Lohan A kategori lelaki berjaya menjuarai Kejohanan Bola Baling Bawah 12 dikelolakan bersama oleh Majlis Sukan Sekolah Zon Timur dan Sekolah Kebangsaan Kananapon yang berlangsung selama 2 hari di Ranau Extreme Futsal, Kampung Marakau baru-baru ini.
Pada pusingan penentuan juara kategori perempuan menyaksikan perlawanan yang agak seimbang dan sengit apabila kedua-dua pasukan sering berbalas serangan. Pada minit ke-4 masa pertama, penyerang Zon Timur, Elyyisabeth Micheal, pemain yang diintai ahli panel pemilih sebagai wakil daerah mendapat hantaran jauh daripada Rika Jinus berjaya melakukan balingan deras menewaskan penjaga gol Zon Tengah. 3 minit kemudian rakannya Nasrin Humairah berjaya menyumbat gol kedua hasil pergerakan satu dua dengan Jorianah Maymis.
Pada minit ke-10, Zon Tengah mendapat peluang terbuka apabila Eviana Stephen yang mendapat hantaran tepat Qayesha Hazel berjaya melakukan balingan deras membolosi gawang gol Zon Timur.
Perlawanan bertambah sengit di masa kedua. Para pemain Zon Timur agak tertekan apabila pengadil mengeluarkan Ellysibeth Micheal. Zon Tengah berjaya menggunakan peluang ini dan berjaya mendahului 3-2 melalui jaringan Qayesha Hazel dan Rya Elonna. Namun sebaik Ellysibeth Micheal dimasukkan, pemain ini yang mendapat dua kali hantaran tepat daripada Jorianah berjaya menjaringkan dua gol sekaligus menobatkan pasukan Zon Timur selaku juara. Terdahulu pasukan Zon Timur berjaya menumpaskan Ulu Sugut Monster 7-2 di suku akhir dan Zon Garas 8-2 di separuh akhir.
Pemenang Anugerah Individu..SK. Lohan A (lelaki), Zon Timur dan Zon Tengah
Dalam satu lagi perlawanan akhir kategori lelaki, pasukan Sekolah Kebangsaan Lohan A berjaya menumpaskan pasukan Ulu Sugut Monster dengan jaringan 9-6. Terdahulu, SK. Lohan A menewaskan SK. Langsat 16-4 di suku akhir manakala di separuh akhir menundukkan Zon Tengah 8-4 manakala Ulu Sugut Monster menewaskan SK. Kundasang dengan jaringan 9-2 pada suku akhir dan mengalahkan Zon Timur 9-1 di separuh akhir.
Keputusan rasmi, juara kategori perempuan dimenangi Zon Timur, Zon Tengah (Naib Juara) dan Zon Garas / SK. Lohan B (Tempat Ketiga). Manakala juara kategori lelaki dimenangi SK. Lohan A, Ulus Sugut Monster (Naib Juara) dan Zon Tengah / Zon Timur (Tempat Ketiga).
Penjaring terbanyak dan pemain terbaik kategori perempuan dibolot oleh Ellysibeth Micheal (Zon Timur/27 gol), Nur Alya Asyah Shahrid (Penjaga Gol Terbaik, Zon Tengah A)manakala dalam kategori lelaki, penjaring terbanyak dimenangi bersama oleh Faiz Nazmie Mohamad Norizan (SK. Lohan A/31 gol) dan Aldejauntin Atong( Ulu Sugut Monster/31 gol), penjaga gol terbaik (SK. Langsat) dan pemain terbaik Mohd Izz Dabish Ali Jasli daripada pasukan SK. Lohan A.
Dalam ucapan perasmian dan penangguhan kejohanan tersebut, Louis Sinti (Pegawai Perhubungan Parlimen) yang mewakili Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin memuji para pegawai pengelola kerana dapat menganjurkan kejohanan tersebut setelah terhenti selama dua tahun akibat pandemik.
“Kejohanan-kejohanan seumpama ini memberi banyak peluang kepada peserta untuk menyerlahkan potensi dan bakat khususnya dalam permainan bola baling. Saya menyaksikan perlawanan akhir kedua-dua kategori di mana para pemain menunjukkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi. Mereka sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan semasa mengatur strategi masing-masing dan sebenarnya inilah antara nilai moral yang telah mereka peroleh sepanjang kejohanan ini,” ujar Louis.
“Dalam usaha untuk melahirkan anak-anak berbakat, kemenangan bukanlah perkara utama tetapi yang lebih penting ialah semangat kesukanan seperti yang ditunjukkan dalam pertandingan dan kerjasama dalam berpasukan. Kepada yang kurang berjaya, tingkatkan lagi usaha untuk kejohanan pada masa akan datang manakala yang menang dan terpilih mewakili daerah ke peringkat negeri syabas dan tahniah, semoga akan membawa pulang dengan kejayaan,” katanya.
Selepas mengakhiri ucapan Louis diiring, Guru Besar SK. Kananapon, Ng Moi Lee dan Penolong Kanan Kokurikulum SK. Kananapon, Rosipin Latiman telah menyampaikan sijil, trofi dan piala kepada semua pemenang keseluruhan serta anugerah individu.