ADVERTISEMENTspot_img

YPNM sambut baik Belanjawan 2027, harap manfaat sampai kepada rakyat

David

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya inisiatif menangani kos sara hidup, memperkukuh perlindungan sosial dan menaik taraf kemudahan asas.

Pengerusinya, David Chan, berkata langkah yang diumumkan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesukaran rakyat, terutama golongan B40 dan M40 yang terkesan dengan peningkatan harga barangan keperluan.

“Kami menghargai usaha kerajaan mendengar suara rakyat dan mengambil langkah meringankan beban kewangan isi rumah. Namun, kerajaan perlu terus turun padang, terutama untuk mendengar sendiri keluhan masyarakat luar bandar dan pedalaman di Sabah serta Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

YPNM menyambut baik peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion. Chan berharap proses penyaluran bantuan dipermudah supaya golongan yang benar-benar memerlukan tidak tercicir.

Beliau turut mengalu-alukan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, tertakluk kepada pengecualian yang diumumkan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana tertentu.

Bagaimanapun, pelaksanaan kenaikan itu perlu mengambil kira kemampuan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana yang berdepan peningkatan kos operasi.

“Kenaikan gaji sepatutnya meningkatkan kuasa beli pekerja. Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan ia tidak mendorong kenaikan harga barangan secara berlebihan sehingga beban kembali ditanggung pengguna,” katanya.

YPNM turut menghargai peruntukan RM3.3 bilion bagi menaik taraf
kemudahan asas luar bandar, termasuk bekalan air bersih, elektrik, lampu jalan dan kemudahan komuniti.

Chan berkata peruntukan itu penting kepada Sabah kerana masih terdapat kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan masalah kemudahan asas.

“Bekalan air bersih, elektrik yang stabil dan jalan raya yang baik ialah keperluan asas rakyat. Kami berharap Sabah menerima perhatian dan peruntukan sewajarnya,” katanya.

YPNM juga menyambut baik pengurangan cukai perkhidmatan penjagaan warga emas daripada lapan peratus kepada enam peratus, termasuk pengecualian cukai bagi yuran penjagaan yang memenuhi syarat.

Selain itu, YPNM menyokong peruntukan perumahan mampu milik serta lanjutan insentif pelaburan teknologi hijau sehingga 2030. Sabah diharap turut mendapat manfaat melalui pembangunan tenaga boleh baharu, peningkatan kestabilan bekalan elektrik dan penyediaan rumah mampu milik untuk golongan muda.

Chan berkata keberkesanan Belanjawan 2027 bergantung bukan sahaja pada jumlah peruntukan, tetapi juga pelaksanaannya di peringkat akar umbi.
“Agensi pelaksana perlu berinteraksi secara langsung dengan pengguna, peniaga kecil, petani, nelayan, pekerja dan masyarakat luar bandar. Suara rakyat perlu didengar dan diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata Sabah mempunyai cabaran geografi dan ekonomi tersendiri, termasuk jarak perjalanan yang jauh, kekurangan pengangkutan awam, kos logistik tinggi serta kemudahan asas yang masih belum mencukupi di sesetengah kawasan pedalaman.

Sehubungan itu, YPNM berharap Belanjawan 2027 mengambil kira keperluan khusus Sabah dan Sarawak, termasuk isu bekalan air, elektrik, jalan luar bandar, harga makanan dan peluang ekonomi.
“Pembangunan negara perlu dilaksanakan secara adil dan seimbang supaya rakyat Sabah dan Sarawak turut menikmati kemajuan serta kemakmuran negara,” katanya.

YPNM Sabah merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas keutamaan yang diberikan kepada kebajikan rakyat, sambil berharap peruntukan belanjawan dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

“Belanjawan yang baik bukan sekadar tentang jumlah peruntukan, tetapi sejauh mana ia membantu rakyat membeli makanan, menampung perbelanjaan keluarga, memperoleh pendapatan mencukupi dan menikmati kemudahan asas yang sempurna,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN