Kelab Sukarelawan Siswa UMSKAL bergambar bersama komuniti kampung sempena Program Cuci Malaysia – Gotong-Royong Perdana di Kampung Sungai Miri dan Sungai Pagar, baru-baru ini.
LABUAN: Seramai 20 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) terdiri daripada Kelab Sukarelawan Siswa telah menyertai Program Cuci Malaysia – Gotong-Royong Perdana yang diadakan di Kampung Sungai Miri dan Sungai Pagar, Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
Program yang bermula seawal pukul 7 pagi itu melibatkan aktiviti gotong-royong bersama penduduk kampung membersihkan kawasan sekitar disamping memupuk semangat kesukarelawanan serta kerjasama komuniti.
Ketua Kampung Sungai Miri, Mahmud Asat, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kelab Sukarelawan Siswa UMSKAL (KESUWA-KAL) atas komitmen dan penyertaan aktif dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau menyifatkan penglibatan mahasiswa sebagai contoh baik dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.
Program ini turut disertai oleh wakil agensi kerajaan dan komuniti tempatan.
Program Cuci Malaysia – Gotong-Royong Perdana di Kampung Sungai Miri dan Sungai Pagar ini bukan sahaja memperlihatkan semangat kesukarelawanan mahasiswa UMSKAL, malah turut mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat dalam usaha bersama menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.



