MUAFAKAT…….Muafakat membawa berkat, demikian yang dilakukan sebahagian penduduk Kg. Silou Ranau, semasa mengadakan Program Gotong-royong Perdana di kawasan kampung berkenaan.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Semangat perpaduan dan kerjasama komuniti terus diperkukuh menerusi Program Gotong-royong Perdana Kampung Silou yang menghimpunkan penduduk setempat dalam usaha memastikan kebersihan dan keceriaan kawasan kampung sentiasa terpelihara.
Program yang bermula pada 7 pagi itu melibatkan aktiviti pembersihan di beberapa lokasi utama, termasuk Masjid Kampung Silou, Dewan Kampung Silou, padang kampung dan kawasan Gereja Kampung Silou.
Selain menceriakan persekitaran, program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan penduduk tanpa mengira latar belakang.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Silou, Persatuan Ibu-Ibu Kampung Silou, Rukun Tetangga (KRT) Kampung Silou, Persatuan Masjid Kampung Silou dan Jawatankuasa TABIKA KEMAS, selain penglibatan penduduk setempat.
Bagi melancarkan aktiviti, penduduk membawa peralatan sendiri seperti mesin rumput, parang, cangkul, skop dan penyapu untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan kawasan awam.
Penglibatan aktif penduduk mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kebersihan persekitaran dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kemudahan awam demi keselesaan seluruh komuniti.
Dalam pada itu, penyediaan makanan dan minuman kepada peserta diselaraskan dengan kerjasama Persatuan Ibu-Ibu Kampung Silou dan KRT Kampung Silou, manakala bekalan petrol atau diesel bagi kegunaan mesin rumput disediakan oleh JPKK Kampung Silou.
Pengerusi JPKK Kampung Silou, Mohd Hafiz Syazwan Abd Ramlan, berkata kerjasama semua pihak penting bagi memastikan usaha menjaga kebersihan dan keceriaan kampung dapat diteruskan secara konsisten.
Beliau turut menyeru penduduk supaya mengekalkan budaya gotong-royong sebagai amalan masyarakat yang bukan sahaja membantu memelihara kebersihan, malah mampu memperkukuh perpaduan dan keharmonian komuniti.
Program itu diharap dapat menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk, sekali gus mewujudkan persekitaran Kampung Silou yang bersih, selesa dan sejahtera.
TAMAT



