David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah mengalu-alukan pembukaan semula Taman Perdana Tanjung Aru yang kembali menjadi lokasi rekreasi pilihan penduduk tempatan, keluarga serta pelancong yang berkunjung ke ibu negeri.
Bagaimanapun, Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata pihaknya memandang serius maklum balas orang ramai berhubung keadaan beberapa kemudahan awam di taman berkenaan yang didakwa masih memerlukan perhatian dan penyelenggaraan segera.
Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan ialah keadaan tandas awam yang kurang bersih serta mengeluarkan bau tidak menyenangkan, laluan pejalan kaki yang rosak atau uzur, selain kemudahan air minuman yang memerlukan penambahbaikan.
“Taman Perdana bukan sekadar kawasan rekreasi untuk penduduk setempat, malah turut menjadi destinasi yang dikunjungi pelancong. Justeru, aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan kemudahan awam perlu diberi keutamaan kerana ia mencerminkan imej Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) supaya menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua kemudahan di taman berkenaan, termasuk tandas awam, laluan pejalan kaki, kemudahan air minuman, sistem pencahayaan, perparitan, keadaan kolam serta kemudahan rekreasi lain.
“Tandas awam hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat, berfungsi dan diselenggara secara berkala. Kemudahan yang rosak atau kotor bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengunjung, malah boleh memberi persepsi negatif terhadap imej bandar raya dan industri pelancongan Sabah,” katanya.
Beliau turut meminta supaya laluan pejalan kaki yang rosak dibaiki dengan segera bagi mengelakkan risiko kemalangan, khususnya melibatkan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Menurut David, pembukaan semula sesebuah taman awam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada akses orang ramai, sebaliknya semua kemudahan asas perlu berada pada tahap terbaik sebelum digunakan.
“Usaha penyelenggaraan berkala dan pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan aset awam sentiasa berada dalam keadaan baik serta mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada masa hadapan,” katanya.
YPNM turut mencadangkan agar DBKK mewujudkan jadual penyelenggaraan dan pemantauan berkala di Taman Perdana serta mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang diterima demi memastikan taman itu kekal bersih, selamat dan selesa.
Dalam pada itu, YPNM menyeru orang ramai supaya bersama-sama memelihara kebersihan taman dengan tidak membuang sampah merata-rata, mengelakkan perbuatan vandalisme serta menjaga kemudahan awam yang disediakan.
“Taman Perdana adalah aset awam yang menjadi kebanggaan Kota Kinabalu. Menjaganya bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tetapi juga tanggungjawab bersama seluruh masyarakat agar ia terus menjadi ruang rekreasi yang berkualiti untuk rakyat Sabah dan para pelancong,” katanya.



