Datuk Dexter Lau menyampaikan ucapan mewakili Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching, Isnin..
KUCHING: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM30 juta bagi penubuhan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd, sekali gus dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu khusus untuk graduan dan tenaga kerja mahir di negeri itu.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, berkata pelaburan berkenaan akan direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara KTC, Yayasan Sarawak dan anak syarikatnya, Sanjung Etika Sdn Bhd, susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang menjadi asas kepada penubuhan syarikat usaha sama tersebut.
Beliau berkata dalam tempoh tiga bulan akan datang, semua pihak dijangka memasuki fasa memeterai Perjanjian Usahasama dan Perjanjian Pemegang Saham bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd, yang menggabungkan kepakaran pembuatan Gardenia dengan aspirasi pembangunan modal insan serta komuniti oleh Yayasan Sarawak.
“Majlis hari ini bukan sekadar pemeteraian dokumen, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada satu lembaran baharu dalam pembangunan industri makanan dan sosioekonomi Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara KTC, Yayasan Sarawak dan Sanjung Etika Sdn Bhd di sini, hari ini.
Dexter berkata KTC turut memohon tapak tanah seluas 7.56 ekar bagi pembangunan kilang Gardenia Bakeries (Sarawak), sambil berharap sokongan Kerajaan Sarawak dapat mempercepatkan pelaksanaan pelaburan strategik itu.
Beliau berkata sepanjang sedekad beroperasi di Sarawak, KTC telah berkembang daripada sifar pekerja tempatan kepada 400 pekerja berasal dari Sarawak, mewakili 32.5 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan kejayaan sistem pembangunan modal insan dan pendidikan Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan sektor swasta.
Dalam tempoh sama, katanya, KTC telah melabur kira-kira RM300 juta di Sarawak yang kini menjana hasil tahunan RM400 juta, selain mengurus aset operasi dan perdagangan bernilai RM140 juta.
“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan Kerajaan Sarawak, rakyat negeri ini, rakan strategik serta seluruh warga kerja KTC,” katanya.
Beliau berkata penubuhan Gardenia Bakeries (Sarawak) akan membolehkan rakyat negeri itu menikmati manfaat daripada pelaburan dalam bentuk pembangunan kilang, pemindahan teknologi, kepakaran industri serta peluang pekerjaan.
Selain itu, katanya, syarikat turut merancang memperkenalkan produk dan pembungkusan khas Gardenia ‘Sarawak Edition’ sebagai penghargaan terhadap identiti, budaya dan keunikan Sarawak.
Dexter berkata KTC juga menyokong visi ekonomi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk penubuhan Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS) dan pejabat perdagangan Sarawak di Pontianak, Indonesia, yang disifatkan mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan serta mengukuhkan jaringan perdagangan serantau.
Beliau berkata KTC komited untuk terus melabur dan berkembang bersama Sarawak, dengan keyakinan bahawa Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd akan muncul sebagai satu lagi mercu tanda kejayaan industri makanan negeri itu hasil sokongan berterusan kerajaan negeri dan rakan strategik.



