ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki Hilang Disyaki Maut Ditembak Ketika Memburu, Dua Rakan Ditahan Sembunyi Mayat

Polis dan Bomba ketika berada di lokasi mayat dipercayai disembunyikan- Foto: Sumber FB

SIPITANG: Misteri kehilangan seorang lelaki akhirnya terungkai apabila polis menemui mayat mangsa yang disembunyikan di kawasan semak selepas dipercayai maut akibat tertembak ketika aktiviti memburu di Kampung Takula, dekat sini.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an ditemukan dalam keadaan mula mereput beberapa hari selepas kejadian yang dipercayai berlaku pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintenden Awang Anak Suanda berkata, pihaknya pada mulanya menerima laporan orang hilang daripada ahli keluarga mangsa selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan keluar bersama dua rakannya pada 3 Julai dan dipercayai pergi memancing.

“Bagaimanapun, kedua-dua rakannya pulang pada Ahad tanpa mangsa, sebelum ahli keluarga membuat laporan polis pada Selasa selepas mangsa masih gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan kedua-dua rakan mangsa pada Jumaat lalu.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai tertembak ketika mereka menjalankan aktiviti memburu. Susulan itu, kedua-dua suspek membawa polis ke lokasi mayat disembunyikan di kawasan semak berhampiran hutan Kampung Takula,” katanya.

Awang berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa sudah mula mereput, manakala siasatan awal menunjukkan suspek dipercayai bertindak menyembunyikan mayat kerana panik dan takut selepas insiden berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang juga berusia dalam lingkungan 50-an kini direman bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN