SERAH…. Tengku Muhammad taufik menyerahkan biskut raya pada majlis “Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023 di PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd, baru baru ini.
LABUAN: 150 keluarga kurang bernasib baik di sini bakal menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan apabila Yayasan PETRONAS menghulurkan bantuan Aidilfitri berupa barangan makanan menerusi Program Impak Sosial “Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023”.
Majlis penyerahan barangan tersebut telah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik yang telah diadakan di PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd, di sini, baru baru ini.
Menurut Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab, program yang mendapat sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah seiring dengan inisiatif Bakul Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, PETRONAS Dagangan Bhd juga turut menyediakan kad hadiah PETRONAS untuk penerima membeli bahan api atau barangan Kedai Mesra di stesen PETRONAS.
“Kami memahami bahawa musim perayaan ada kalanya mencabar untuk mereka yang kurang bernasib baik.
“ Yayasan PETRONAS komited untuk memainkan peranannya untuk menjadikan musim perayaan lebih ceria bagi golongan ini. Program ini dirangka untuk menyediakan bukan sahaja makanan, tetapi juga untuk mewujudkan rasa kemasyarakatan dan sokongan semasa musim perayaan,” kata Siti Ayu.