Kamal (tengah) dan Zazila (kiri) Bersama empat Pembangun Komuniti yang dianugerahkan sijil dalam majlis itu
RANAU: Program latihan pertanian mampan dan perusahaan produk sisa sifar yang dijalankan oleh Yayasan Axiata dan Sabah Social Enterprenuers Association (SOSEA) telah memberi manfaat kepada hampir 200 usahawan di sini.
Ketua Pegawai Ekskutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Bin Nawawi berkata, pertubuhan tersebut, melalui Unit Pemantapan Komuniti telah menggerakkan tiga inisiatif khusus yang holistik bagi tujuan tersebut.
“Secara keseluruhan, ketiga-tiga inisiatif ini merangkumi program Jalinan Kasih Murni, Jalinan Kasih Bakti dan Jalinan Kasih Budi.
“Ia memberi tumpuan terhadap keperluan masyarakat Orang Asli di Semenanjung, rakyat asal di Sabah dan Sarawak, warga B40 di kawasan bandar, luar bandar, miskin tegar, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya dan anak-anak yatim,” katanya.
Menurut Kamal, objektif utama pertubuhan itu di Sabah melalui adalah untuk memanfaatkan lebih 192 individu yang sejumlah besarnya terdiri dari kaum wanita dari empat daerah (Kota Marudu, Ranau, Nabawan dan Tambunan).
“Saya telah difahamkan, menerusi program ini, peserta-peserta telah berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah mereka kepada 50 peratus sebulan. Ini satu peningkatan besar yang kami turut banggakan,” katanya.
Sejak Julai 2022 hingga Januari 2023, Yayasan Axiata telah memeterai kerjasama dan melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dengan lebih daripada 30 organisasi yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat korporat serta badan bukan Kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, katanya, sejumlah 70 buah program berimpak tinggi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan dari pertengahan tahun 2022 sehingga 2023 oleh organisasi itu.
“Setakat ini, sudah lebih 23 ribu penerima bantuan dari negeri Perlis hinggalah ke negeri Sabah, telah menerima sumbangan daripada Yayasan Axiata,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Bersama Peserta dan Graduasi Program Jalinan Kasih Murni Sabah 2023 yand diadakan di Dewan Bundu Tuhan Ranau pada hari Sabtu.
Dalam majlis itu, sijil penghargaan telah diberikan kepada empat orang Pembangun Komuniti yang telah menjalankan inisiatif di daerah masing- masing untuk menambah dan menjana pendapatan petani dan suri rumah.
Mereka terdiri daripada Irene mositol (Program Coordinator Herba Inspirasi Suri), Johnity philip (Program Coordinator Poring Lestari), Farni Milis (Program Coordinator Sinar Baru Si Gandung) dan Vianney Evana (Program Coordinator Demi Segantang Padi).
Sementara itu, Presiden Sabah Social Enterprenuers Association (SOSEA), Zazila Roslan berkata, program jalinan kasih murni Sabah ini mempunyai empat inisiatif kepada komuniti, iaitu Herba Inspirasi Suri, Sinar Baru Si Gandung, Demi Segantang Padi dan Poring Lestari.
“Sosea mendorong usahawan sosial ataupun pembangun komuniti ke arah yang lebih lestari dari segi kewangan dan impak kepada masyarakat.
“Dengan program jalinan kasih murni ini, kita dapat merealisasikan misi pembangunan ekonomi dari akar umbi, dan akan dikembangkan sesuai dengan pertumbuhan ekonomi di dalam komuniti,” jelas beliau.
Turut hadir, Pegawai Pertanian Kanan Ranau, Zaba Ramlan, Ketua Kampung Bundu Tuhan, Sokuil Ladsau, Pengerusi JKPA Korikot, Johnny Ghani dan lain-lain.