Kong Soon Choi…Beban yang diluahkan rakyat memang berat dan saya yakin Perdana Menteri bersama kakitangan lain dalam kabinet lantikannya telah bersiap sedia mendapatkan jalan penyelesaian yang tuntas untuk membantu rakyat.
RANAU: Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star) yakin kerajaan perpaduan mampu menangani isu kos sara hidup yang selama ini membebankan rakyat khasnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Ketuanya, Kong Soon Choi berkata, beliau percaya pengalaman yang dimiliki oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia akan membuahkan hasil yang melegakan semua pihak dalam hal pengurusan kos sara hidup yang selama ini menghimpit kehidupan rakyat.
“Saya meyakini pengalaman Perdana Menteri yang pernah mencipta sejarah selaku Menteri Kewangan terbaik sebelum ini, beliau mampu mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk mempastikan isu itu di tangani dengan sempurna”. Tegasnya.
Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, antara rungutan kos sara hidup yang mendesak daripada rakyat akar umbi termasuklah harga barangan makanan yang agak tinggi khasnya keperluan ruji seperti beras, ayam, daging, telur dan produk laut yang lain termasuk mengharapkan harga minyak dapat diturunkan.
“Beban yang diluahkan rakyat memang berat dan sudah tentu Perdana Menteri bersama kakitangan lain dalam kabinet lantikannya telah bersiap sedia mendapatkan jalan penyelesaian yang tuntas untuk membantu rakyat’. Katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selepas mengangkat sumpah jawatan selaku Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan memberi fokus utama untuk menurunkan kos sara hidup rakyat.