TUARAN: Pergerakan Wiramuda STAR Tuaran menyokong penuh kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Tuaran bahawa kerusi parlimen Tuaran melalui Kuota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu diberikan kepada calon muda.
Pemimpin Parti Wiramuda STAR N13 Pantai Dalit, Jess Joel Moriga (gambar) berkata beliau yakin pengundi muda di Parlimen Tuaran kini menyedari perkembangan politik yang berlaku hari ini.
“Saya yakin dengan sokongan semua anak muda di Tuaran kepada gabungan ini, calon GRS pada PRU15 tidak mustahil untuk merampas kerusi Parlimen P170 Tuaran daripada bekas Ahli Parlimen di sini.
“Bagi saya, tidak kira siapa calon muda yang akan dipertaruhkan oleh GRS untuk bersaing merebut kerusi P170, kami pemimpin muda khususnya dari Wiramuda Tuaran akan bekerjasama untuk memastikan kesatuan belia dalam GRS mampu memenangi kerusi P170,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Tahunan Armada Bersatu Tuaran yang berlangsung di Dewan Bangunan Persatuan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik Tuaran dekat sini baru-baru ini.
Persidangan itu dihadiri lebih kurang 400 orang daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama.
Jess Joel yang juga Naib Ketua Exco Wiramuda STAR Negeri menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Tuaran Ghazali Hajiji untuk bertanding di kerusi parlimen Tuaran menerusi Kuota GRS.
“Melihat ketua-ketua belia dan anak muda khususnya yang datang daripada kumpulan Undi18 hadir bersama-sama mendengar dan menyokong persidangan ini memberi gambaran yang memberangsangkan.
“PRU15 ini merupakan pilihan raya yang akan menjadi titik tolak kepada era politik baharu Malaysia. Jumlah pengundi muda berusia antara 18-21 tahun merupakan penyumbang terbesar dalam penambahan pengundi baharu di kawasan P170.
“Ini adalah masa keemasan bagi belia untuk semua bersatu dalam GRS bagi membawa reformasi kepada sistem geo politik di Tuaran,” jelas Jess Joel.
Tambahnya, ini juga masa terbaik untuk diambil oleh pucuk pimpinan GRS yang diketuai Ketua Menteri Sabah, baik dari sayap pemuda mahupun anggota tertinggi untuk mencalonkan anak muda bertanding di Parlimen Tuaran.
“Sudah pasti dengan wujudnya kesatuan pemuda di bawah GRS di Tuaran, diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen Tuaran, saya percaya bukan sahaja suara rakyat di Tuaran boleh dibawa ke parlimen.
“Sama pentingnya ialah suara golongan muda juga pastinya akan menjadi keutamaan untuk dibawa ke Dewan Rakyat selepas calon muda GRS memenangi kerusi Parlimen Tuaran,” katanya.