Kong….”Bayaran tersebut seakan menjadi tradisi daripada kerajaan pusat terdahulu dan kini yang disifatkan seperti menambah perisa pada masakan untuk menambah sedap”
KOTA KINABALU: Pergerakan Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) menyokong gesaan beberapa Ahli Parlimen Sabah yang mendesak agar Kerajaan Persekutuan benar-benar adil dalam bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah dan Sarawak.
Ketuanya, Kong Soon Choi berkata, kadar bayaran yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM300 juta bagi kedua-dua wilayah Borneo itu suatu yang amat mengecewakan.
“Tambahan pula ia bersifat interim dan kenapa begitu kecil jurang pembahagian sedangkan perolehan keuntungan yang diperolehi oleh Kerajaan Pusat begitu besar jumlahnya. Dua wilayah ini bersaiz begitu besar yang masih bergelumang dengan isu pembangunan yang kompleks”. Tegasnya.
Kong turut mempersoalkan bayaran tersebut seakan menjadi tradisi daripada kerajaan pusat terdahulu dan kini yang disifatkan beliau seperti menambah perisa pada masakan untuk menambah sedap.
Katanya, sekian lama para pemimpin Sabah dan Sarawak sering bersuara lantang menuntut agar bayaran khas itu dilaksanakan seadilnya tetapi masih sukar ditunaikan seolah-olah wujud karenah birokrasi.
“Jumlah RM300 juta itu saya ajak semua pihak berfikir sejenak. Tidak usah saya tekankan isu pembangunan lain cukup jika saya mengatakan tiga pokok isu yang amat mendesak di Wilayah Sabah Sarawak iaitu jalan raya, air dan elektrik, adakah jumlah yang diberikan itu mampu menyelesaikan isu tersebut”. Jelasnya.
Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan saranan Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang mengajak semua pemimpin mengenepikan perbezaan politik dalam memastikan hak Sabah yang terkandung dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berhasil dituntut.
Pada Khamis, lima Ahli Parlimen Sabah terdiri daripada Datuk Seri Madius Tanggau (Tuaran), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Verdon Bahanda (Kudat), Riduan Rubin (Tenom) dan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudin (Kota Belud) turut mengadakan sidang akhbar di Dewan Rakyat bagi mempersoalkan isu tersebut.