Kombinasi PIBG..kumpulan pemalu yang menamatkan paluan tepat jam 1.00 petang
RANAU: Warga Sekolah Kebangsaan Kaulan mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya ‘Magagung’ tanpa henti selama 5 jam bermula dari jam 8.00 pagi hingga jam 1.00 petang bertempat di Galeri Bahasa Melayu sekolah tersebut baru-baru ini.
Ketika ditemui media, Guru Besar SK. Kauluan, Ramlee Ambu berkata acara tersebut merupakan Program Maraton Magagung Peringkat Sekolah yang mensasarkan PIBG dan murid sebagai peserta.
“Bagi mencapai rekod masa selama 5 jam, warga sekolah iaitu ibu bapa dan guru-guru telah dibahagikan kepada lima kumpulan kecil masing-masing dilengkapi seramai 6 orang pemalu gong manakala murid-murid dibahagikan kepada 7 kumpulan. Sebanyak 3 set gong telah disediakan dan setiap 5 minit akan bertukar kumpulan,” katanya.
Menurutnya, Lima objektif mengadakan program tersebut iaitu, Memupuk nilai-nilai yang baik dalam kalangan murid seperti bersyukur, menghargai, semangat setia kawan dan sebagainya, Mendedahkan murid dengan budaya masyarakat Dusun seperti makanan, pakaian, peralatan bunyi-bunyian dan lain-lain, Memupuk kerjasama yang erat antara warga sekolah dengan komuniti setempat, Mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan Menyemai semangat patriotisme terhadap bangsa dan negara Malaysia.
Katanya lagi, selain ‘Magagung’ antara lain aktiviti yang turut dijalankan ialah Pertandingan Makanan Tradisi, Gubahan tapak sirih (Tinggaton), Pameran Kebudayaan Masyarakat Dusun, Permainan Tradisional dan Tamu/Badi.