Pengurus Besar SAFMA, Burhan Haji Japar (kanan), menyampaikan pesanan kepada warga kerja bahawa kebersihan Kompleks Perikanan merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dijaga secara bersatu dan berterusan.
KOTA KINABALU: Warga kerja Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) bergotong-royong membersihkan Kompleks Perikanan SAFMA di sini, hari ini, sempena sambutan Hari Sukan Negara.
Aktiviti itu disertai Pengurus Besar SAFMA, Burhan Haji Japar, bersama warga kerja syarikat berkenaan.
Mereka bekerjasama membersihkan ruang kerja dan kawasan kompleks sebagai usaha memastikan persekitaran sentiasa bersih, kemas serta selesa.
Burhan berkata, kebersihan kompleks adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen semua warga kerja.
“Semua warga kerja perlu bersatu dan bekerjasama menjaga kebersihan kompleks. Amalan ini perlu diteruskan supaya persekitaran tempat kerja sentiasa terjaga,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran gotong-royong itu juga menggalakkan semangat kerjasama dalam kalangan warga SAFMA, selaras dengan sambutan Hari Sukan Negara yang mengangkat nilai kebersamaan dan gaya hidup aktif.



