ADVERTISEMENTspot_img

BIG BAD WOLF KEMBALI KE SABAH, LEBIH SEJUTA BUKU MENANTI PENGUNJUNG DI SICC

Chloe Lim bersama paparan promosi Big Bad Wolf East Malaysia Tour 2026 yang bakal membawa lebih sejuta buku kepada pengunjung di SICC, Kota Kinabalu, hujung bulan ini.

KOTA KINABALU: Pesta jualan buku terbesar dunia, Big Bad Wolf Books, kembali memeriahkan Kota Kinabalu dengan menawarkan lebih sejuta buku pelbagai genre sempena penganjuran selama 11 hari di Sabah International Convention Centre (SICC), bermula 30 Oktober hingga 9 November depan.

Penganjuran kali ini bukan sahaja menjanjikan tawaran harga menarik, malah turut mengetengahkan pelbagai inisiatif bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Sabah, khususnya generasi muda.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam Big Bad Wolf Books, Chloe Lim berkata, Sabah mempunyai komuniti pembaca yang pelbagai dan pihaknya mahu memastikan setiap pengunjung berpeluang mendapatkan bahan bacaan yang bersesuaian dengan minat serta peringkat usia masing-masing.

Menurutnya, usaha mendekatkan masyarakat dengan buku tidak seharusnya tertumpu kepada jualan semata-mata, sebaliknya perlu disertai pendekatan yang mampu menjadikan amalan membaca sebahagian daripada kehidupan seharian.

“Kami mahu memastikan ada sesuatu untuk semua pembaca di Sabah, terutama kanak-kanak dan golongan muda yang masih meneroka minat membaca mereka.

“Setiap buku yang dibaca bukan sahaja membuka ruang kepada pengetahuan baharu, malah mampu mencetuskan imaginasi, kreativiti dan pemikiran yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Chloe berkata, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk budaya membaca, pasukan Big Bad Wolf Books turut mengadakan kunjungan ke beberapa sekolah sekitar Kota Kinabalu bagi mendekati guru dan pelajar.

Katanya, interaksi bersama warga pendidik dan pelajar itu memberi peluang kepada pihaknya memahami keperluan pembaca muda, selain menggalakkan mereka menjadikan buku sebagai sumber ilmu dan inspirasi.

“Kami berharap usaha mendekati sekolah ini dapat memberi kesan berpanjangan, bukan sahaja sepanjang pesta buku berlangsung, tetapi turut menyemarakkan minat membaca dalam kalangan pelajar selepas program berakhir,” katanya.

Sepanjang penganjuran, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai pilihan buku berbahasa Inggeris merangkumi buku cerita kanak-kanak, fiksyen, bukan fiksyen, pendidikan serta pelbagai bahan bacaan lain.

Menariknya, Big Bad Wolf Books turut menawarkan diskaun khas lima peratus kepada pelajar dan pendidik bagi pembelian minimum tiga buah buku, tidak termasuk judul jualan penghabisan stok.

Bagi membantu sekolah dan institusi pendidikan memperkukuh koleksi bahan bacaan, diskaun sebanyak 10 peratus ditawarkan untuk pembelian minimum RM1,600, manakala pembelian RM4,500 ke atas layak menikmati diskaun 12.5 peratus.

Dalam pada itu, 50 pengunjung pertama yang tiba sebelum jam 11 pagi setiap hari berpeluang menerima baucar tunai eksklusif bernilai RM10.

Penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan kempen BBW Gold Rush menerusi aktiviti Share & Win, Snap & Win dan Spend & Win, yang menawarkan peluang memenangi hadiah utama berupa jongkong emas premium seberat 10 gram.

Sempena hari pembukaan pada 30 Oktober, pengunjung yang berbelanja RM200 dalam satu resit akan menerima lima penyertaan cabutan bertuah, manakala peserta Snap & Win menerima tiga penyertaan.

Tiga judul buku terpilih juga akan ditawarkan pada harga istimewa khusus pada hari pembukaan.

Tidak ketinggalan, sambutan Halloween pada 31 Oktober dijangka menambahkan kemeriahan apabila pengunjung yang hadir mengenakan kostum atau solekan bertemakan Halloween berpeluang menerima pelekat Wolfie edisi khas, sementara stok masih ada.

Pesta buku Big Bad Wolf Books dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan percuma kepada semua pengunjung.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai promosi dan aktiviti sepanjang penganjuran menerusi Facebook, Instagram serta TikTok rasmi Big Bad Wolf Books.

Big Bad Wolf Books yang diasaskan di Malaysia pada 2009 oleh Andrew Yap dan Jacqueline Ng kini berkembang menjadi jenama pesta buku antarabangsa yang menjelajah lebih 55 bandar di 17 negara.

Penganjurannya terus membawa misi menjadikan buku lebih mampu milik dan mudah diakses, sekali gus membantu melahirkan masyarakat berilmu serta generasi yang mencintai budaya membaca.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN