ADVERTISEMENTspot_img

KJA Iktiraf Pengamal Media, Hargai Sokongan Rakan Strategik

Barisan penerima apresiasi bergambar bersama datuk Victor dan datuk Jake

Oleh: Paul Ukau

KENINGAU: Di sebalik setiap berita yang merakam denyut kehidupan masyarakat, pengamal media memikul amanah menyampaikan kebenaran dan memastikan suara rakyat tidak tenggelam, tanggungjawab yang menjadi teras perjuangan Persatuan Wartawan Keningau (KJA) dalam memperkukuh kewartawanan berintegriti di pedalaman Sabah.

Komitmen itu dizahirkan pada Majlis Malam Apresiasi KJA di Hotel Perkasa di sini, malam tadi, yang turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pengamal media serta penghargaan kepada rakan strategik dan penyumbang yang menyokong perjuangan persatuan itu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Penaung KJA, Datuk Jake Jikulin Nointin, manakala Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, Dato’ Victor Peter Paut, hadir sebagai tetamu kehormat dan perasmi.

Presiden KJA, Marutin Ansiung, berkata majlis itu bukan sekadar meraikan pengamal media, tetapi turut menghargai sumbangan, sokongan dan kepercayaan pelbagai pihak dalam memperkukuh profesionalisme, integriti serta kerjasama kewartawanan, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Victor atas sumbangan sebuah kenderaan sebagai hadiah utama cabutan tiket bertuah, yang disifatkannya sebagai tanda keprihatinan dan kepercayaan terhadap usaha KJA.

Dalam majlis sama, Marutin menerima Anugerah Laporan Komuniti, manakala Anugerah Ikon Kewartawanan diberikan kepada Datuk Emin Madi dan Anugerah Penulis Veteran kepada Johan Aziz, yang menggunakan nama pena JOHA.

Anugerah Wartawan Harapan diberikan kepada Dullis Saimon (DJ Loy), Anugerah Penyiar Radio Terbaik kepada Hector Zaimit (DJ Hacks), Anugerah Khas KJA kepada Dr Francis Andin dan Anugerah Media Digital kepada Clarence George Dol.

Anugerah Fotografi Terbaik pula diberikan kepada Rizalmi Liman dan Imelda Justine.

Marutin berkata tugas kewartawanan bukan sekadar mencari dan menyampaikan berita, tetapi turut memastikan suara masyarakat didengari, fakta disampaikan dengan tepat dan perkembangan setempat direkodkan untuk tatapan generasi akan datang.

“Kecepatan tidak boleh mengatasi ketepatan, populariti tidak boleh mengatasi kebenaran dan kebebasan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan KJA akan terus berusaha meningkatkan profesionalisme dan integriti pengamal media, selain memainkan peranan sebagai jambatan komunikasi antara masyarakat, kerajaan, sektor korporat dan pelbagai pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, Marutin merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang kewangan dan material yang membantu menjayakan majlis berkenaan.

Antara penyumbang ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah merangkap ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar; serta Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Negeri Sabah (SLDB) merangkap ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.

Penghargaan turut diberikan kepada Ahli Parlimen Keningau merangkap ADUN Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G.Kitingan; ADUN Liawan, Datuk Nik Nazri Nik Zawawi; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; ADUN Panginatan, Datuk Rusdin Riman; Datuk Jake Jikulin Nointin; dan Datuk Azman Haji Ruslan.

Turut dihargai ialah Koperasi Penanam Sawit Mapan Daerah Keningau Sabah Berhad, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Keningau serta para pengiklan yang menyumbang kepada penganjuran majlis itu.

Marutin berharap sokongan berterusan semua pihak dapat memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan ahli KJA serta membina kerjasama lebih erat demi memastikan kewartawanan berintegriti terus memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN