EWON
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah merangka dasar khas untuk memberi keutamaan kepada anak Sabah mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi membantu menangani kekurangan pegawai perubatan di negeri itu.
Beliau berkata pendekatan berkenaan boleh menjadi langkah jangka panjang untuk meningkatkan bilangan doktor tempatan yang berkhidmat di Sabah selepas menamatkan pengajian.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Ewon berkata isu kekurangan doktor yang melaporkan diri untuk bertugas di Sabah, khususnya dari Semenanjung, bukan semata-mata berkaitan kemudahan elaun, infrastruktur kesihatan atau peluang kenaikan pangkat.
Sebaliknya, katanya, usaha itu perlu turut mengambil kira keupayaan melahirkan lebih ramai doktor daripada kalangan anak Sabah yang mempunyai keinginan untuk berkhidmat di negeri sendiri.
Beliau mencadangkan supaya proses pengambilan pelajar melalui Unit Pusat Universiti (UPU) diperhalusi dengan meningkatkan pengambilan pemohon anak Sabah bagi program perubatan di UMS atau institusi pengajian tinggi berhampiran.
Ewon turut mencadangkan supaya tawaran penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 disalurkan kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan di UMS.
Menurutnya, penajaan itu boleh disertai ikatan perkhidmatan supaya penerima kembali berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian.
Beliau berkata pendekatan berkenaan wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada strategi membina tenaga kerja kesihatan tempatan yang lebih mampan.
Katanya, usaha meningkatkan bilangan doktor anak Sabah berpotensi membantu menangani kekurangan tenaga perubatan dan memperkukuh kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk negeri itu.



