SABAH FIRST | Ewon menunjukkan teks perbahasan Belanjawan 2027 sebelum memasuki Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mahu reformasi perlembagaan negara merangkumi jaminan supaya Sabah dan Sarawak mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memperkukuh perlindungan perlembagaan atau constitutional safeguard yang menjadi antara perkara penting dalam pembentukan Malaysia.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Ewon turut membangkitkan kebimbangannya terhadap kecenderungan membawa undang-undang Persekutuan ke Parlimen tanpa mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah, khususnya bagi undang-undang yang mempunyai implikasi langsung kepada negeri itu.
Menurutnya, semangat Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan perhatian dalam memastikan perlindungan terhadap kedudukan perlembagaan Sabah terus dipelihara.
Beliau mencadangkan supaya undang-undang baharu, pindaan perlembagaan atau pindaan undang-undang yang memberi kesan langsung kepada Sabah mendapatkan persetujuan Yang di-Pertua Negeri atau Kerajaan Sabah.
Ewon turut menyarankan supaya semangat Perkara 79 Perlembagaan Persekutuan diterjemahkan melalui amalan perundingan dan persetujuan dengan kerajaan negeri sebelum sesuatu undang-undang berkaitan dibawa ke Dewan Rakyat.
Katanya, reformasi berkenaan perlu mengambil kira sejarah pembentukan Malaysia dan kedudukan Sabah sebagai rakan dalam Persekutuan.
Beliau berkata perlindungan kepentingan Sabah tidak seharusnya terhad kepada peruntukan pembangunan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi mekanisme perundangan dan perwakilan yang mencukupi di peringkat Persekutuan.



