ADVERTISEMENTspot_img

JOACHIM TINJAU PROJEK TENAGA DAN INFRASTRUKTUR JALAN RAYA DI TENOM, KENINGAU

LAWAT…Joachim (tengah)

TENOM: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, mengadakan lawatan kerja ke daerah Tenom dan Keningau hari ini bagi meninjau perkembangan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur penting, khususnya melibatkan sektor tenaga dan kemudahan jalan raya.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan projek pembangunan infrastruktur di Sabah dilaksanakan dengan teratur, memenuhi piawaian yang ditetapkan serta memberikan manfaat kepada rakyat.

Joachim memulakan lawatan di ibu pejabat CCCC-CWE di Kemabong, Tenom, dengan menghadiri sesi taklimat oleh Upper Padas Power Sdn. Bhd. mengenai perkembangan pelaksanaan projek tenaga hidro Upper Padas.

Beliau kemudian dibawa meninjau tapak projek termasuk kawasan Access Tunnel bagi melihat sendiri pelaksanaan kerja serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai aspek teknikal dan cabaran yang dihadapi di lapangan.

Projek pembangunan tenaga berkenaan merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur bekalan elektrik di Sabah bagi memenuhi keperluan pembangunan dan permintaan tenaga pada masa hadapan.

Selepas lawatan di Kemabong, Joachim meneruskan perjalanan ke Keningau bagi meninjau Projek Menggantikan Pembetung kepada Jambatan Kekal di Kilometer 133.95, Jalan Kota Kinabalu–Keningau.

Tinjauan tersebut memberikan peluang kepada beliau untuk melihat secara langsung keadaan tapak projek serta meneliti aspek pelaksanaan kerja yang berkaitan dengan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Menurut Joachim, pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan amat penting bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan asas yang lebih baik, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Beliau turut menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap projek-projek pembangunan supaya sebarang isu atau kekangan pelaksanaan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan sewajarnya.

Katanya, pembangunan sektor tenaga dan jaringan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah turut menyokong pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan terlibat.

Lawatan kerja selama dua hari, bermula 12 hingga 13 Oktober itu, turut merangkumi beberapa lagi projek infrastruktur dan kemudahan asas di daerah Keningau yang dijadual dilawati pada hari berikutnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN