ADVERTISEMENTspot_img

FEBBEDS 2026 angkat martabat bahasa dan budaya etnik Dusun Sabah

Dr. Linah Bagu (keenam kiri) merakamkan kenangan bersama Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam (tengah) dan tetamu jemputan pada Festival Bahasa dan Budaya Etnik Dusun Sabah 2026 (FEBBEDS 2026) di Dewan Masyarakat Ranau, baru-baru ini.

RANAU: Usaha memelihara dan memartabatkan bahasa, budaya serta kesenian masyarakat Dusun Sabah terus diperkukuh menerusi penganjuran Festival Bahasa dan Budaya Etnik Dusun Sabah 2026 (FEBBEDS 2026) yang julung kali diadakan di daerah ini.

Festival anjuran Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah (PKDBS) dan Ranau Ethnic Learning Centre (RELC) dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau serta Majlis Daerah Ranau itu berlangsung di Dewan Masyarakat Ranau pada 10 Okt lepas.

Penganjurannya bertujuan menyediakan platform kepada penggiat bahasa dan budaya Dusun, khususnya di Ranau, untuk berhimpun dan mengukuhkan semangat kerjasama atau mitatabang dalam usaha memastikan warisan bahasa, budaya dan kesenian masyarakat itu terus dipelihara, terutama dalam kalangan generasi muda.

Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian, antaranya pertandingan Duo-Manangon, masakan tradisional dan peragaan pakaian tradisional bagi kategori kanak-kanak serta veteran, selain persembahan kebudayaan dan penyampaian anugerah bagi mengiktiraf sumbangan dalam bidang bahasa, budaya dan kesenian.

Majlis perasmian penutupan festival disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.

Sebanyak 38 penerima menerima Anugerah Bahasa, manakala 18 individu dianugerahkan Anugerah Budaya dan Kesenian.

Lima individu turut menerima Anugerah Khas sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam bidang masing-masing, iaitu Dr Linah Bagu (Pamagatangan Boyoon Kikarayahan), Barizah Mohd Kahar (Pamagatangan Boyoon Kikobruonon), Datuk Ts Dr Ramzah Dambul (Pamagatangan Kikobontugan), Adrian Soidi (Pamagatangan Kikoinuson) dan Sitiamah Haji Sahat (Pamagatangan Kikogorisan).

Dalam ucapan alu-aluan, Linah yang juga Pengerusi PKDBS merangkap Pengerusi Penganjur FEBBEDS 2026 berharap semangat kerjasama dalam kalangan semua pihak dapat diteruskan, khususnya dengan melibatkan generasi muda.

Beliau berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan kelangsungan bahasa dan budaya warisan masyarakat Dusun di Ranau yang mempunyai keunikan tersendiri.

Turut hadir Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, ADUN Paginatan Datuk Haji Rusdin Riman, Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau Barizah Mohd Kahar, Pengurus RELC Mohd Ramdan serta wakil pihak penganjur dan agensi berkaitan.

Penganjuran FEBBEDS 2026 diharap dapat menjadi wadah berterusan untuk mempertemukan penggiat bahasa dan budaya, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mewariskan khazanah budaya etnik Dusun kepada generasi akan datang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN