POSKAD…. Shazila menyerahkan poskad e-Census kepada Bashir sambil diperhatikan Mohd Dzulfaizal (kanan sekali)
LABUAN: Warga Labuan diminta untuk memberikan maklumat yang tepat berkaitan butiran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang sedang dilaksanakan di pulau ini.
Ketua Pejabat Operasi, Jabatan Perangkaan Wilayah Persekutuan, Shazila Mohd Hasbi berkata Jabatan Perangkaan Malaysia ketika ini sedang melaksanakan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di seluruh negara untuk mengumpulkan data yang lebih komprehensif berhubung penduduk dan perumahan negara melalui dua fasa.
“Fasa 1 pengisian secara online dengan menggunakan kaedah e-Census dan CATI telahpun dilaksanakan sejak 7hb Julai yang lalu hingga 30hb September 2020. Manakala Fasa 2 secara bersemuka dengan penduduk menggunakan kaedah PAPI, DOPU dan CAPI bermula pada 7hb Oktober 2020 sehingga 24hb Oktober 2020” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias yang diadakan di kediaman rasminya di Kampung Sungai Lada baru-baru ini.
Hadir sama dalam pertemuan lebih satu jam itu ialah Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan.
Justeru itu katanya. Warga WP Labuan yang telah menerima poskad yang mengandungi Invitation Code dialu-alukan untuk mengisi dan melengkapkan e-Census selewat-lewatnya sebelum 30hb September 2020.
“Sekiranya ada sebarang pertanyaan dan kemusykilan berkenaan Banci Penduduk dan Perumahaan Malaysia boleh menghubungi talian hotline MyCensus 2020 1-800-88-7720 atau berkunjung ke Pejabat Operasi Labuan, Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan di Tingkat 13(C), Blok 4, Ujana Kewangan” katanya.
Pada majlis itu, Shazila turut menyerahkan poskad e-Census Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang mengandungi nombor ID kepada Senator Datuk Bashir.