28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Warga KPMKR terus pelopori perkhidmatan awam berlandaskan C.A.R.E: James

Datuk James (tengah), Datuk Flovia Ng (kanan James) Datuk Maria Chong (kiri James) bergambar bersama pegawai dan sebahagian kakitangan KPMKR selepas Majlis Amanat Menteri, di SICC, pada Selasa.

KOTA KINABALU: Setiap jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) digesa supaya terus berada di hadapan dan berinisiatif dalam menghasilkan produk-produk baharu.

Menteri KPMKR, Datuk James Ratib berkata, motivasi berkenaan adalah berlandasakan konsep ‘Nilai Bersama’ atau C.A.R.E. bagi memastikan agar mereka sentiasa releven dan dinamik dalam meniti arus perubahan, selain meningkatkan akses kepada masyarakat menerusi pendigitalan.

“Kita perlu menghayati apa itu C.A.R.E.. Ia adalah singkatan daripada Citizen Centric; Meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan untuk memastikan perkhidmatan diberikan bersesuaian dengan kehendak mereka.

“Pembelajaran dan Inovasi Berterusan yang memastikan penjawat awam mempunyai ilmu dan kemahiran berdasarkan keperluan semasa dan masa hadapan agar perkhidmatan awam dapat beroperasi dalam persekitaran kerja yang dinamik di samping sentiasa berada pada tahap yang pantas, responsif dan efektif.


“Berorientasikan Tindakan yang membolehkan penjawat awam dan organisasi menjadi lebih efektif dan efisien dalam menyelesaikan sebarang isu dan cabaran.

“Hormat demi menggalakkan kerjasama dan tahap profesionalisme antara anggota perkhidmatan awam yang akan mengukuhkan asas kepada tahap governan yang lebih efektif.

“Bertanggungjawab dan Responsif dalam memastikan impak yang maksimum dapat dicapai dalam sebarang program yang dilaksanakan dan organisasi berada pada tahap respon yang pantas dalam memenuhi kehendak pelanggan.

“Dan akhir sekali Memperkasakan dan Teladan bagi memastikan penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam membuat keputusan di samping punyai standard perkhidmatan, profesionalisme dan akauntabiliti yang boleh menjadi teladan baik kepada orang awam,” kata beliau.

James yang juga ADUN Sugut berkata demikian ketika merasmikan Majlis Amanat Menteri Tahun 2025 yang diadakan di SICC, Kota Kinabalu pada hari Selasa.

Selaku Exco Kesihatan Negeri Sabah, sebelum ini James berkata, beliau pernah menegaskan betapa pentingnya koloborasi antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam membangunkan negeri ini.

Menerusi kolaboratif, katanya, telah banyak membantu menyelasaikan perkara-perkara yang menjadi penghalang kepada usaha kerajaan melaksanakan pembangunan di negeri ini termasuklah kemudahan kesihatan dan sebagainya.

“Contohnya Pemilikan tanah pembangunan Klinik Kesihatan, Tapak letak kereta di hospital, Pusat Jantung Sabah di QEH 2, Mesin – CT-PET Scan, Mesin-mesin Dialisis, dan Kemudahan-kemudahan asas untuk pelatih ILKKM.

“Oleh itu, hubungan baik serta kerjasama antara jabatan dan agensi di bawah Negeri dan Persekutuan, adalah amat penting sekali agar sistem penyampaian dan perlaksanaan lebih berkesan yang akhirnya akan dinikamti oleh rakyat,” katanya.

Untuk mencapai Visi dan Misi kearah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan, sudah pasti pelbagai cabaran bakal dihadapi, justeru beliau mengajak seluruh warga kerja Kementerian, jabatan dan agensi berkenaan supaya terus memberikan khidmat yang terbaik.

Belajawan Negeri Sabah 2025 berjumlah RM6.421 bilion adalah yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah belanjawan negeri Sabah di mana KPMKR menerima agihan RM150.51 juta (Perbekalan) dan RM11.91 juta (Pembangunan).

“Kejayaan perlaksanaan belanjawan ini terletak pada keupayaan dan kesiap-siagaan penjawat awam khusunya yang bertanggungjawab melaksanakannya pada tahun ini.

“Justeru, saya berharap agar ketua-ketua Jabatan dan anggotanya (penjawat awam) lebih telus dan bertanggunjawab dalam menguruskan dana awam ini,” katanya.

Dalam usaha memperkasa dan melancarkan pengurusan atau tata kelola dalaman KPMKR beliau mahukan pengurusan ditambahbaik, elak kerenah birokrasi dari semua peringkat termasuk di bahagian aset.


“Birokrasi dalam organisasi selalunya menjadikan suatu perkara yang mudah terpaksa melalui proses yang rumit.

“Padahal urusan boleh dipermudahkan mengikut prosedur yang betul tetapi akhirnya menjadi sulit atau rumit akibat pengurusan yang kurang cekap menyebabkan suatu keputusan lambat dibuat.

“Keadaan ini boleh membuka kepada amalan rasuah yang boleh berlaku dalam sekecil-kecil urusan atau projek,” katanya.

James berharap agar prestasi kerja (Merit) atau sumbangan kepada Kementerian atau jabatan yang membawa kemajuan dapat diambilkira dalam pertimbangan kenaikan pangkat.

Beliau turut menyentuh berkenaan dengan Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) atau Program Pekerjaan Jangka Pendek yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia (Persekutuan) untuk menyediakan peluang pekerjaan Short-term kepada rakyat Malaysia, terutama golongan muda dan graduan.


“Inisiatif ini sangat baik, namun MyStep perlu memberi ruang dan peluang kepada peserta untuk diserap ke jawatan tetap berdasarkan kebolehan serta kemampuan dalam menjalankan tugas dengan cekap.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan diharap boleh mempertimbangkan cadangan tersebut untuk tempoh masa tertentu kerana ramai peserta mempunyai kemahiran yang baik sewaktu mengurus serta menyelesaikan tugasan.

“Saya juga berharap peserta MySTEP diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada staf tetap kerana ada dalam kalangan mereka sangat berbakat dalam sesuatu bidang tetapi malangnya tidak mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Sementara itu, James menginagatkan bahawa para penjawat awam adalah pelaksana yang menggerakan seluruh sistem operasi kerajaan dalam menjayakan amanah pemerintah kepada rakyat dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada YAB Ketua Menteri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, akan diadakan pada bila-bila masa tahun ini. Dalam waktu inilah pelbagai isu atau sentimen akan dimainkan oleh pihak pembangkang dalam membina persepsi bahawa kerajaan yang ada sekarang bermasalah dan gagal.

“Soal membina persepsi bahawa Kerajaan GRS ini gagal, itu tugas mereka. Sebaliknya fokus kerajaan ketika ini adalah menyelasaikan isu rakyat. Sehubungan itu, saya mengingatkan penjawat awam khususnya warga kementerian, jabatan dan agensi supaya tidak terpangaruh atau terikut-ikut dengan tindakan pembangkang dengan mempercayai fitnah yang disebarkan.

“Penjawat awam berkewajipan untuk memberi sokongan dan kesetiaan secara professional dan tidak berat sebelah kepada setiap kerajaan yang memerintah,” katanya.

Dengan kewajipan itu, ujar beliau, penjawat awam khususnya ketua-ketua jabatan adalah bertanggungjawab memberikan nasihat dan maklumat yang tepat kepada Menteri kerana mereka bertanggungjawab untuk menjalankan dengan setia setiap arahan yang diberikan.

Beliau yang mewakili seluruh warga kementerian, jabatan dan agensi, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama TUN Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, di atas perlantikan sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah Ke-11.

“Kami doakan semoga Tuan Yang Terutama TUN sentiasa dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus cemerlang menggalas amanah yang diberi serta membawa kemajuan, kejahteraan dan kemakmuran kepada negeri Sabah,” katanya.

James berterima kasih di atas komitmen dan sumbangan semua Ketua Jabatan dan pasukan masing-masing dalam tahun 2024 yang telah mendokong dan merealisasikan aspirasi mensejahterakan rakyat bersama-sama kementerian beliau selaras dengan Pelan Sabah Maju Jaya 2021-2035.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada yang hadir ke majlis itu, dan ucapan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pelaksana dan urusetia majlis yang diketuai oleh Setiausaha Tetap KPMKR Datuk Maria Chong, yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan majlis itu dapat direalisasikan.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2025 kepada masyarakat Tiong Hua di negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN