Aksyah
KOTA KINABALU: Langkah penstrukturan semula Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini bukan sekadar urusan pentadbiran biasa, sebaliknya mencerminkan iltizam politik besar daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah berkata, langkah itu memperlihatkan Hajiji sebagai seorang pemimpin yang mahu belajar daripada sejarah panjang politik Sabah yang pernah melalui pelbagai liku dan ketidakstabilan sejak puluhan tahun lalu.
“Kita pernah lihat kerajaan bertukar ganti, parti tumbuh bagai cendawan dan pemimpin yang asyik berbalas hujah. Tetapi apa kesudahannya?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan hanya melemahkan Sabah sehingga membuka ruang kepada campur tangan luar sama ada dari sudut politik, ekonomi mahupun sumber alam negeri.
“Apabila kita tidak stabil, orang luar tidak hormat kita. Malah, kita dilihat tidak mampu menguruskan rumah tangga sendiri. Perpecahan itulah yang sering menjadi titik lemah sehingga memudahkan ‘penjajahan terancang’ terhadap negeri kita,” katanya.
Aksyah berkata, beliau memuji percaturan Hajiji memperkemaskan GRS sebagai parti tonggak utama dalam pentadbiran Sabah demi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara.
Katanya, Sabah memerlukan satu wadah tempatan yang kuat, bersatu dan dominan bagi menjamin kestabilan politik negeri.
“Tanpa sebuah tonggak yang teguh, kerajaan negeri akan mudah goyah ditiup angin politik dari luar,” katanya.
Beliau berkata, penstrukturan itu juga dilakukan bagi memastikan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” bukan sekadar retorik, sebaliknya benar-benar terpahat dalam sanubari rakyat dan ahli GRS.
“Apabila kita kemaskan struktur parti, kita sebenarnya sedang memperkukuhkan ‘pagar dan dinding’ rumah kita sendiri.
“Ia adalah manifestasi bahawa nasib Sabah mesti ditentukan oleh tangan anak watan Sabah sendiri, bukannya ditentukan oleh orang lain,” katanya.
Menurutnya lagi, Hajiji bukan sahaja mahu menyatukan parti, tetapi turut berusaha menyatukan pemimpin Sabah daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dalam satu barisan yang padu.
Katanya, apabila pemimpin daripada pelbagai etnik termasuk Bumiputera Islam, bukan Islam dan masyarakat Cina boleh duduk semeja serta bercakap dalam satu nada, ia menjadi tanda bahawa maruah Sabah sedang diangkat kembali.
“Dunia akan mula melihat Sabah sebagai sebuah negeri yang matang dan stabil,” katanya.
Aksyah turut berpandangan kestabilan politik yang kukuh akan menguatkan lagi suara Sabah dalam menuntut hak-hak negeri di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63) di peringkat Persekutuan.
“Kuala Lumpur akan lebih hormat kepada kita kalau kita bersatu hati. Mana tidaknya, barisan kepimpinan utama GRS kini memiliki pengaruh yang kuat sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, menerusi struktur pimpinan yang lebih tersusun, hasrat menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 juga diyakini lebih mudah direalisasikan menerusi gabungan tokoh berpengalaman dan tenaga muda.
“Kayu ukurnya bukan lagi pada kertas cadangan yang cantik, tetapi pada sejauh mana rakyat merasai limpah pembangunan di depan mata mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu pelan penggantian kepimpinan yang bijak bagi memastikan Sabah berada dalam keadaan tersusun apabila berlaku peralihan kepimpinan pada masa depan.
“Hajiji sedang menyediakan landasan yang kukuh untuk generasi akan datang. Beliau mahu pastikan apabila tiba masa menyerahkan baton kepimpinan kelak, Sabah sudah berada dalam keadaan yang tersusun dan tidak lagi terumbang-ambing oleh polemik politik lama,” katanya.
Aksyah berkata, penstrukturan baharu itu juga merupakan langkah berani untuk “menutup buku lama yang penuh dengan sengketa dan membuka lembaran baharu yang lebih bermaruah”.
“Sejarah mungkin pahit, tetapi pemimpin yang bijak akan menggunakan kepahitan itu untuk membina masa depan yang lebih manis. Kita doakan supaya semangat perpaduan ini kekal berpanjangan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak lagi terus “bermain politik” sehingga melupakan kepentingan rakyat.
“Cukuplah. Rakyat sudah muak dengan drama yang tidak berkesudahan. Sabah sudah terlalu lama menderita kerana ketidakstabilan. Sekarang masanya untuk kita bergerak maju ke depan.
“Ingatlah, rumah ini kita yang punya, maka kitalah yang wajib menjaganya,” katanya.



