Penguatkuasa ketika membuat peneriksaan keatas sebuah bengkel kenderaan berkenaan.
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengeluarkan kompaun terhadap sebuah bengkel kenderaan disini kerana gagal memberikan kenyataan bertulis berkaitan kos perkhidmatan pembaikan.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan kompaun dikeluarkan susulan aduan pengguna menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa di sebuah premis bengkel kenderaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pengusaha bengkel berkenaan gagal memberikan suatu kenyataan bertulis kepada pengguna sebelum perkhidmatan pembaikan dijalankan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].
Katanya, peraturan tersebut mewajibkan pengusaha bengkel memberikan maklumat secara bertulis kepada penggun berkaitan anggaran kos pembaikan, alat ganti yang digunakan, caj perkhidmatan serta bentuk kerja pembaikan yang akan dijalankan sebelum sebarang kerja pembaikan dibuat.
“Kegagalan mematuhi keperluan tersebut boleh menjejaskan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat yang jelas dan membuat keputusan secara tepat sebelum bersetuju menerima perkhidmatan” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000.
Junaidah berkata, KPDN Labuan ingin mengingatkan semua pengusaha bengkel supaya sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002 termasuk kewajipan memberikan kenyataan bertulis kepada pengguna sebelum kerja pembaikan dijalankan. Langkah ini penting bagi memastikan ketelusan dalam urusan perkhidmatan, mengelakkan pertikaian berkaitan caj atau skop pembaikan serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.
Dalam waktu yang sama pihaknya akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. Orang ramai juga disaran untuk terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera demi kepentingan pengguna dan komuniti setempat.



