ADVERTISEMENTspot_img

Kisah tular guru redah hutan hanya rekaan, individu terlibat mohon maaf

PERMOHONAN MAAF … Ronisi Bin Jamaul (gambar) berkongsi permohonan maaf menerusi infografik yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.

KOTA KINABALU: Individu yang didakwa mencipta kisah tular mengenai pengorbanan seorang guru muda meredah hutan selama hampir tiga jam demi menghantar bekalan makanan kepada murid asrama di pedalaman Ranau tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia susulan penyebaran maklumat tidak benar itu.

Ronisi Bin Jamaul menerusi satu kenyataan di Facebook mengakui hantaran bertajuk “Demi Murid, Cikgu Farhan Redah Hutan 3 Jam” yang dimuat naik pada 12 Mei lepas hanyalah rekaan dan gurauan semata-mata tanpa memikirkan implikasi terhadap masyarakat serta pihak yang terlibat.

Beliau berkata, hantaran tersebut dimuat naik tanpa menyangka ia akan menjadi tular dan menyentuh emosi ramai pihak, khususnya warga Sabah, penduduk daerah Ranau serta komuniti sekolah di SK Pinawantai.

“Saya mengaku bahawa cerita tersebut adalah rekaan dan gurauan semata-mata yang saya cipta di Facebook tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

“Apabila melihat ramai yang bersimpati, tersentuh dan berkongsi kisah tersebut dengan penuh emosi, saya mula sedar bahawa tindakan saya telah mengecewakan banyak orang serta boleh menimbulkan salah faham terhadap pihak yang terlibat,” katanya.

Menurut Ronisi, beliau berasa amat bersalah selepas isu berkenaan mendapat perhatian meluas dan mengakui tindakannya itu sebagai satu kesilapan besar kerana melibatkan kepercayaan serta emosi masyarakat.

Beliau turut memohon maaf kepada guru-guru, masyarakat pedalaman dan semua pihak yang terkesan akibat perkongsian tersebut, selain berjanji akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan sama pada masa hadapan.

Terdahulu, media sosial tular dengan kisah menyentuh hati mengenai seorang guru dikenali sebagai “Cikgu Farhan”, 26, yang didakwa sanggup memikul kampit beras dan membawa barangan keperluan asas menggunakan wang gajinya sendiri selepas jalan utama ke sekolah rosak akibat cuaca buruk.

Hantaran itu turut mendakwa keadaan jalan berlumpur menyebabkan kenderaan sukar memasuki kawasan sekolah, manakala bekalan makanan murid asrama semakin berkurangan sehingga ada murid terpaksa makan ala kadar sementara menunggu bantuan tiba.

Perkongsian berkenaan mendapat perhatian meluas warga maya yang menzahirkan simpati serta penghargaan terhadap pengorbanan guru di kawasan pedalaman sebelum dakwaan itu disahkan tidak benar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN