SIJIL PENYERTAAN….. Salah seorang peserta dalam kalangan ibu bapa menerima sijil penyertaan disampaikan Asdi @ Mohd Faizal Hussin (kanan)
PITAS: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia terus memperkukuh usaha membanteras gejala sosial dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja menerusi penganjuran Program Kebapaan yang berlangsung di Dewan Mini Pejabat Daerah Pitas, baru-baru ini.
Program yang melibatkan 50 peserta terdiri daripada golongan ayah dan anak remaja itu bertujuan mempererat hubungan kekeluargaan selain meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah serta cabaran sosial yang semakin membimbangkan.
Majlis penutupan program tersebut dirasmikan oleh Asdi @ Mohd Faizal Hussin yang mewakili Ruddy Awah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa institusi keluarga merupakan benteng utama dalam membentuk masyarakat sejahtera dan generasi muda yang berdaya tahan.
Katanya, peranan seorang ayah amat penting bukan sahaja sebagai ketua keluarga, tetapi juga pembimbing, pelindung dan teladan kepada anak-anak dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.
“Hubungan erat antara ayah dan anak mampu menjadi asas kukuh dalam pembentukan jati diri, disiplin serta ketahanan diri remaja daripada terjebak dengan gejala negatif,” katanya.
Menurut beliau, statistik Agensi Antidadah Kebangsaan menunjukkan lebih 145,000 individu dikenal pasti sebagai penyalahguna dadah pada tahun 2023, dengan hampir 60 peratus daripadanya terdiri daripada golongan belia berusia 15 hingga 39 tahun.
Katanya, situasi itu membuktikan perlunya pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh bermula dari rumah menerusi komunikasi terbuka, kasih sayang dan pengawasan berterusan oleh ibu bapa.
Beliau turut menggesa golongan ayah agar meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak serta memahami cabaran dunia remaja yang semakin kompleks ketika ini.
Dalam pada itu, beliau memuji penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh institusi keluarga serta melahirkan generasi muda yang bebas daripada pengaruh dadah dan gejala sosial.



