Wanita warga asing disyaki pelacur dicekup Polis di sebuah hotel di Jalan Bundusan, Penampang.
PENAMPANG: Polis menahan seorang wanita warga asing berusia 27 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan dalam satu operasi di sebuah hotel di Jalan Bundusan, Penampang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, serbuan kira-kira 10.30 malam itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Hasil pemeriksaan ke atas bilik hotel berkenaan, polis berjaya menahan seorang wanita warga asing dan merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk telefon bimbit, kondom serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan melalui platform atas talian sebagai medium untuk mendapatkan pelanggan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sammy berkata IPD Penampang komited dalam membanteras aktiviti tidak bermoral itu dan menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing.



