Keadaan motosikal yang terbabas di Jalan Kobusak
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam kejadian di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, Penampang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum motosikal terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.



