Mohd Rafi
LABUAN:UMNO Bahagian Labuan dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Padika Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas limpah perkenan pengampunan bersyarat kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, beliau bagi pihak UMNO Bahagian Labuan menzahirkan rasa syukur dan menyambut baik keputusan yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Mohd Rafi yang Ahli Majlis Tertinggi Kerja UMNO berkata, keputusan itu tentunya membawa kelegaan kepada Datuk Seri Najib, keluarga serta seluruh ahli keluarga besar UMNO yang sentiasa mengikuti perkembangan perkara ini dengan penuh harapan.
” Saya percaya bahawa segala keputusan yang telah diperkenankan adalah berdasarkan pertimbangan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Lembaga Pengampunan”katanya dalam satu kenyataannya di sini pada Jumaat.
Sementara itu katanya, UMNO Bahagian Labuan akan mengambil inisiatif untuk melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu usaha memenuhi bayaran denda sebanyak RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat pengampunan yang telah diperkenankan oleh Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.
” Inisiatif ini merupakan tanda solidariti dan penghargaan atas segala jasa serta sumbangan Datuk Seri Najib kepada parti dan negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
” Saya menyeru kepada seluruh ahli UMNO Bahagian Labuan serta sahabat-sahabat perjuangan yang ingin bersama-sama dalam usaha ini untuk menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing”katanya.
Terdahulu, media melaporkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.



