Datuk Julita Majungki ketika membentangkan RUU di DUN Sabah pada Khamis
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Ordinan Pengangkatan 1960 dalam usaha menambah baik sistem pentadbiran pengangkatan anak di negeri ini.
RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki.
Ketika membentangkan pindaan itu, beliau berkata cadangan berkenaan telah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Februari 2026, selaras dengan keperluan untuk memperkukuh aspek perundangan berkaitan pengangkatan anak di Sabah.
Menurutnya, Ordinan Pengangkatan 1960 merupakan undang-undang sedia ada yang mengawal selia urusan pengangkatan anak, namun pindaan perlu dilakukan bagi memastikan peruntukannya kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa DUN Sabah sebelum ini telah meluluskan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 pada 21 November 2024, yang menyediakan peruntukan khusus bagi pengangkatan anak dalam kalangan umat Islam.
“Enakmen tersebut mula berkuat kuasa pada 26 Disember 2024 dan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan perintah pengangkatan,” katanya.
Tambah beliau, enakmen itu turut merangkumi penetapan syarat pengangkatan, proses mendapatkan persetujuan, pengecualian terhadap keperluan persetujuan serta sekatan dalam penarikan balik persetujuan.
Sehubungan itu, pindaan yang dicadangkan melibatkan Seksyen 23 Ordinan Pengangkatan 1960 bagi memperuntukkan bahawa ordinan berkenaan tidak terpakai kepada orang Islam, sekali gus membolehkan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dilaksanakan dan dikuatkuasakan sepenuhnya.
Menurutnya, langkah itu penting kerana Seksyen 23 sebelum ini menghalang pemakaian undang-undang lain berkaitan pengangkatan anak.
Pindaan tersebut dijangka memperkukuh kerangka perundangan pengangkatan anak di Sabah agar lebih tersusun, inklusif dan selaras dengan keperluan masyarakat pelbagai latar belakang di negeri ini.



