JUARA BERSAMA …. Dr Bonaventure Boniface (tengah) menyampaikan hadiah kejuaraan kepada pasukan DB Takana-Kana & DB F’Ramok, juara bersama.
TENGHILAN: Kejohanan DRBB Double Dart Tournament N.14 Tamparuli (Tertutup 4T) di Dewan Keturunan Keluarga Damit (KKD), dekat sini, baru-baru ini, menyaksikan penyertaan para pemain dart sekitar Tenghilan, Tamparuli, Tuaran dan Topokon.
Dalam pertandingan itu, gandingan DB Takana-Kana & DB F’Ramok muncul sebagai juara, sekali gus membawa pulang gelaran Juara Bersama.
Tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh pasukan Pirate Bro dan FR’Fc, manakala kedudukan bersama tempat kelima hingga kelapan menjadi milik Jem Sniper, Insan Po, Rondogung Robson dan DLDC Macau.
Bagi kategori khas, anugerah Most 180 (x2) diraih oleh Indra dan wakil Pirate Bro, manakala pencapaian High Score Check 145 dicatatkan oleh Koboi daripada pasukan DLDC Macau.
Kejohanan tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dr Bonaventure Boniface.

AJK Penganjur kejohanan mengabadikan gambar kenangan bersama Dr Bonaventure Boniface.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji usaha pihak penganjur dalam mengumpulkan para pemain berbakat dari daerah Tuaran, sama ada mereka yang baharu mahu pun yang telah lama berkecimpung dalam sukan berkenaan.
“Semoga aktiviti seumpama ini dapat mengukuhkan silaturrahim dalam kalangan pemain, dan mengekalkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak muda,” katanya.
Beliau turut menyumbangkan hadiah-hadiah bagi kejohanan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan aktiviti sukan komuniti di peringkat akar umbi.
Menurutnya lagi, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan dart, tetapi mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat di kawasan 4T.
“Tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang telah memeriahkan kejohanan ini dengan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.
Sebanyak 35 pasukan, terdiri daripada 70 orang pemain telah menyertai kejohanan yang pertama kalinya menggabungkan empat kawasan berkenaan.



