ADVERTISEMENTspot_img

Pelancaran Buku Komuniti Navigator Perkasa Pembangunan Belia Pedalaman Sabah

KENINGAU: Pelancaran buku Komuniti Navigator di sini baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran wakil pelbagai agensi kerajaan, sektor pendidikan serta komuniti setempat.

Antara yang hadir ialah Pengurus Stesen Penyiaran Daerah Keningau (RTM), Puan Florence John Luan; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Puan Catherine Kindasan; Ketua Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau, Tuan Mohd Noor Rizal Glen; Penolong Pegawai Daerah Keningau, Puan Christine Tiffany Charlse Lohindun; serta Penolong Kanan Pentadbiran SMK Gunsanad II Keningau, Puan Hajah Noormah Haji Tahir.

Buku Komuniti Navigator hasil karya Dr. Muhd Shafeiq Muhammad Asri memberi penekanan kepada pembangunan potensi diri dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan belia di pedalaman Sabah, khususnya mereka yang berdepan cabaran dalam menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya.

Menurut penulis yang juga Pensyarah Perubatan Keluarga di Universiti Malaysia Sabah, penerbitan buku itu berasaskan pengalaman beliau dalam melaksanakan program komuniti di kawasan pedalaman, selain usaha memperkasakan golongan muda agar lebih berdaya saing.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran ahli perniagaan, Dato’ Seri Haji Shuib Nasir, yang berkongsi pandangan mengenai peluang dan hala tuju kerjaya dalam bidang keusahawanan.

Perkongsian itu memberi pendedahan berguna kepada lepasan SPM serta golongan belia yang hadir, khususnya dalam memahami cabaran dan peluang dalam dunia pekerjaan serta perniagaan masa kini.

Dalam pada itu, penganjuran majlis berkenaan dilihat membuka ruang kepada kerjasama strategik antara sektor pendidikan, media dan komuniti dalam memperkukuh pembangunan belia di pedalaman Sabah.

Kehadiran pelbagai pemegang taruh mencerminkan sokongan berterusan terhadap inisiatif berkenaan yang dijangka diperluas melalui program susulan seperti sesi bimbingan, perkongsian ilmu dan aktiviti komuniti bagi membantu generasi muda lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN