CERIA… Khairy @KJ menerima cenderamata daripada Datuk James sambil disaksikan Haslina…Khairy merupakan salah seorang penceramah jemputan sempena persidangan pada Rabu di SICC
KOTA KINABALU: Kerajaan ahri ini melihat golongan wanita sebagai Rakan Strategik dalam pembangunan negara, ini bermakna wanita adalah aset yang amat bernilai, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), YB Datuk James Ratib.
Kata beliau, peranan wanita amat penting di pelbagai lapisan masyarakat sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara.
Penyertaan dan pencapaian wanita dalam sektor ekonomi, pendidikan, politik serta pencapaian dalam sektor-sektor lain, tambahnya, semakin ketara menjadikan golongan wanita mampu berdaya saing.
“Kini lebih ramai wanita berjaya memegang jawatan penting dan diberi peluang menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara,” kata beliau.
Menurut James, KPMKR melalui JHEWA juga sentiasa menggalakkan lebih ramai kaum wanita menceburi bidang-bidang yang lebih mencabar dan melibatkan kemahiran-kemahiran tertentu bersesuaian dengan arus perubahan teknologi yang semakin pesat.
“Ini kerana wanita bukan sekadar perlu keluar dari kepompong yang membelenggu fungsi dan pemikiran mereka sejak sekian lama tetapi harus bergerak maju seiring dengan kemajuan negara dalam era pembangunan global,” kata beliau.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian sempena Persidangan Kepimpinan Wanita Berwibawa yang diadakan di Sabah Internation Convention Centre (SICC) pada hari Rabu.
“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang saya untuk merasmikan majlis ini dan ini merupakan satu penghormatan kepada kaum lelaki yang berdiri bersama-sama ratusan wanita di hadapan saya.
“Saya dimaklumkan hampir 300 pegawai wanita menghadiri persidangan ini yang terdiri daripada SUT Kementerian, Ketua-ketua Jabatan dan para pegawai wanita dari seluruh Sabah.
“Saya turut difahamkan program sebegini merupakan acara kemuncak setelah selesainya Bengkel Women of Substances (WOS) setiap tahun. Syabas saya ucapkan kepada semua!” kata beliau.
Menurutt beliau, Program WOS ini telah dilaksanakan sejak tahun 2011 hingga 2024 dan telah melatih sebanyak 12 kumpulan WOS yang merangkumi seramai 450 orang pegawai wanita telah dilatih di bawah JHEWA.
“Kini, seramai 8 daripada 20 orang Ketua Jabatan Wanita iaitu sebanyak 40% adalah antara peserta Bengkel Kepimpinan Wanita Berwibawa @ WOS.
“Sejajar dengan tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2024 iaitu ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada para pegawai wanita yang berkhidmat dalam kerajaan.
“Ini dijalankan melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah iaitu program khas khusus untuk Kepimpinan wanita telah berikan peruntukan bermula dari RMKe-10 sehingga RMKe-12 iaitu Program Pembangunan Kepimpinan Wanita Berwibawa,” katanya.
Sementara itu, James berkata bahawa pada masa kini kejayaan seseorang pegawai dalam perkhidmatan awam bukan lagi dinilai mengikut senioriti namun mengikut prestasi kerja yang cemerlang tanpa mengira usia.
Katanya, tidak dinafikan pencapaian dan peratusan Wanita sebagai pembuat keputusan telah mencapai 30% antaranya ialah bilangan Setiausaha Tetap Kementerian dan Ketua-ketua Jabatan Negeri.
KENANGAN…James (duduk tengah) merakam gambar bersama Khairy KJ (ketiga kiri) bersama ketua-ketua jabatan dan peserta persidangan
“Saya melihat semakin menyerlah prestasi kebolehan para pegawai wanita dalam perkhidmantan awam ini. Hari ini kita menyaksikan kaum wanita telah menjawat jawatanjawatan penting dalam sektor awam mahupun swasta.
“Walaupun dalam bilangan masih sedikit, tetapi ianya tetap membuktikan bahawa kaum wanita di negara ini mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi,” ujar beliau dalam majlis yang turut dihadiri oleh bekas Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin atau KJ yang kini menceburi bidang sebagai penyampai radio dan podcaster.
James menambah bahawa kerajaan menyedari bahawa pegawai wanita yang diperkasakan adalah amat penting untuk pembangunan negara dan ekonomi.
“Sumbangan idea-idea kreatif dari pegawai wanita dalam menambahbaik lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri sabah selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) perlulah secara berterusan dan progresif.
“Kejayaan yang dicapai bukan semata-mata sebagai suri rumahtangga, bahkan meliputi semua aspek termasuklah bidang perniagaan, kepimpinan, politik dan pentadbiran awam,” katanya.
Bercakap berkenaan hala tuju SMJ dalam modal insan dan kesejahteraan rakyat, katanya, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat adalah teras kedua dalam hala tuju SMJ.
“Saya berikan contoh melalui Program Hi-Talent yang mana belia yang terpilih akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi Kerajaan untuk mendapat pendedahan alam kerjaya dan sekali gus membina potensi diri.
“Oleh itu, saya berharap Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah akan mencari pendekatan sebegini dalam merancakkan pembangunan wanita secara inklusiv,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan yakin wanita akan terus mengorak langkah dan mengatur strategi bagi membangunkan bangsa dan negara dalam mencapai kemajuannya serta memberi inspirasi agar wanita lain bersemangat demi sebuah kejayaan.
“Melalui persidangan ini juga diharap akan membuka ruang untuk semua baik dari badan Kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan untuk bertemu, berkomunikasi, bekerjasama, bermuafakat dan mencapai persefahaman untuk kebaikan bersama.
“Wanita berwibawa perlu mempunyai identiti di sudut pegangan, kontemporari dalam pendekatan dan keupayaan memimpin yang tinggi serta professional.
“Oleh itu, bagi merealisasikannya, wanita haruslah meningkatkan kapasiti dan penguasaan ilmu pengetahuan dan membangun sebagai modal insan berkualiti yang mempunyai prospek dan pemikiran yang komited untuk mencapai dan mengekalkan kecemerlangan,” kata beliau.
James berharap agar apa yang disampaikan oleh para penceramah yang hebat pada hari ini akan dijadikan wadah pencetus kesedaran dalam kalangan wanita supaya sentiasa merebut pelbagai peluang demi untuk menambah ilmu pengetahuan selain memperkasakan diri dalam dunia serba mencabar ini.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dan seluruh warga kerjanya selaku penganjur dan beliau yakin penganjuran program ini akan menyemarakkan semangat para pegawai wanita dalam Kerajaan Negeri mahupun GLC untuk sentiada berkhidmat dengan penuh komitmen dan kompeten demi kesejahteraan bersama.
Beliau turut menyeru agar Kementerian, Jabatan dan agensi-agensi Kerajaan negeri sentiasa menyokong program-program yang dilaksanakan oleh JHEWA serta persidangan ini dapat membangkitkan semangat wanita agar terus terlibat dalam pembangunan negeri dan negara.
Ini, katanya, menjadi penyuntik semangat dan pendorong kepada kemajuan bersama dan seterusnya memperkukuhkan komitmen yang sedia ada untuk terus mencapai kemajuan demi kemakmuran dan kesejahteraan.