RANAU: Seorang wanita berumur 50-an nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 40 meter dekat sini pada malam hari Jumaat.
Ketua Balai BBP Ranau PPgB Rantey Fred berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 23 Jalan Ranau-Tambunan berhampiran Kampung Mumpait Ranau pada jam 6.30 petang.
“Panggilan diterima melalui Talian Balai tentang kejadian ini pada jam 6.09 petang lalu sekumpulan anggota seramai 7 orang diketuai Komander Operasi, PBK II Hafizul Guntor Bin Mohd Nordin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 23 kilometer dari balai itu, kita mendapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas dan masuk ke dalam gaung sedalam dianggarkan 40 meter.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu perempuan yang masih berada di dalam kenderaan tersebut. Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan namun tidak dapat keluar sendiri dari kenderaan,” katanya.
Menurut Rantey, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan dan seterusnya membawa mangsa ke kawasan selamat, sebelum diserahkan kepada pasukan EMRS Bomba untuk dihantar ke Hospital Ranau bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 7 malam,” katanya.



