Bomba berusaha memadam kebakaran
RANAU: Seorang wanita melecur di muka dan tangan selepas rumahnya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Langkau, Ranau pada awal pagi Sabtu.
Ketua Balai BBP Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 pagi.
Katanya, seorang kanak-kanak terjaga dan kebetulan mahu ke tandas, apabila kebakaran dilihat di bahagian atas siling dapur.
Katanya, ketika itu terdapat dua sekeluarga seramai 12 orang di rumah itu, di mana kesemua mangsa sempat bergegas keluar dari rumah sebelum api mula merebak.
Bagaimanapun, katanya, mangsa masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil beberapa barang penting yang tertinggal di dalam rumah itu menyebabkan dia melecur.
Ridwan berkata, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 2.21 pagi dan sekumpulan 8 anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK II Mastin Suli bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai, kita mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dua tingkat berkeluasan 30×60 kaki yang 80% terbakar.
“Dilaporkan terdapat seorang mangsa wanita berusia 47 tahun melecur di muka dan tangan dan pasukan Bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum menggegaskannya ke hospital menaiki van EMRS untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Menurut Ridwan, Bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 200 kaki dan 2 pancutan air menggunakan sumber air dari jentera dan air terbuka.
“Api berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi. Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada 7.10m,” katanya.