Ahli Wanita PPS bermain gambus semasa majlis Pertandingan Tilawah Al Quaran di Dewan PPS Sembulan.
KOTA KINABALU: Kesibukan mengurus keluarga, kerjaya dan masyarakat bukan penghalang kepada wanita untuk terus mendalami ilmu Al-Quran serta memperkukuhkan penghayatan terhadap ajaran Islam.
Pengerusi Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata wanita hari ini membuktikan mereka mampu mengimbangi pelbagai tanggungjawab, termasuk meluangkan masa mengikuti pengajian Al-Quran dan menyertai pertandingan tilawah.
“Ini membuktikan wanita bukan sahaja cemerlang dalam pelbagai bidang, malah sentiasa berusaha memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT melalui pembacaan, penghayatan dan pengamalan Al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Tilawah Al-Quran Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) yang dianjurkan Biro Agama PPS di sini.
Pertandingan itu disertai 10 peserta terdiri daripada Ahli Terus PPS dan wakil cawangan dari seluruh negeri.
Azizah berkata, program berkenaan bukan sekadar mencungkil bakat qariah, malah menjadi medium menggalakkan pembacaan Al-Quran secara bertajwid, memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli serta melahirkan wakil PPS yang mampu bersaing pada pertandingan di peringkat lebih tinggi.
Beliau turut menggesa lebih ramai wanita menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan terus istiqamah menghadiri kelas pengajian agama walaupun sibuk dengan pelbagai komitmen harian.
Katanya, pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera bermula dengan penghayatan nilai-nilai Islam yang kukuh, manakala wanita memainkan peranan penting sebagai pendidik utama dalam institusi keluarga.
Majlis berlangsung dalam suasana penuh harmoni dengan kehadiran ahli-ahli PPS dan para jemputan yang hadir memberikan sokongan kepada semua peserta.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan bagi memperkukuh syiar Islam, memupuk semangat silaturahim serta melahirkan lebih ramai wanita yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.



