Ewin menyampaikan replika cek berjumlah RM20,000 kepada salah seorang wakil persatuan yang penerima sumbangan geran pada majlis itu
PUTATAN: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) menyalurkan geran berjumlah RM145,000 kepada sembilan persatuan menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti pembangunan usahawan di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan replika cek kepada kesemua wakil penerima dalam satu majlis di sini, pada Sabtu.
Persatuan yang menerima geran itu ialah Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Sabah (RM10,000), Persatuan Transformasi Pembangunan Usahawan Sabah (RM20,000), Sabah Technopreneur Association (SATA) (RM10,000), Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Kota Kinabalu (RM20,000), Persatuan Anak Malaysia Sabah (RM20,000), JCI INTAN (RM10,000), Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (RM20,000), Persatuan Sukarelawan Inanam (RM15,000) dan Seafarers Association of Sabah (RM20,000).
Ewon berharap geran yang disediakan oleh Kerajaan Sabah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuhkan pelaksanaan aktiviti pembangunan keusahawanan oleh setiap persatuan.
“Saya berharap geran ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk aktiviti pembangunan keusahawanan oleh persatuan masing-masing,” katanya.
Ewon berkata, Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET diwujudkan sebagai antara inisiatif kerajaan negeri menyokong peranan persatuan dalam memperkasa ekosistem keusahawanan melalui pelbagai program pembangunan kapasiti, latihan, jaringan perniagaan dan aktiviti yang memberi manfaat kepada usahawan di Sabah.
Katanya, melalui sokongan berterusan itu, kerajaan negeri berharap lebih banyak persatuan dapat memainkan peranan aktif dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Sebelum ini Ewon telah menyampaikan dana berjumlah RM50,000 menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET kepada tiga persatuan di Telupid, Beluran dan Pitas bagi memperkasa aktiviti keusahawanan di kawasan itu.



