Ketua jurulatih UMS FC, Mohd Asyraaf (duduk bertopi) sedang memberi arahan kepada pemain semasa rehat menentang MFC FC di pada perlawanan pusingan awal Piala Cahya Mata di padan SUKMA Kota Kinabalu petang tadi. UMS FC menang perlawanan itu 4-0.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Kelab Bolasepak Universiti Malaysia Sabah (UMS FC) bermula garang membelasah Kelab Bolasepak My Friend Community (MFC FC) 4-0 pada kejohanan bolasepak Piala Cahya Mata 2026 peringkat Zon Sabah di Padang SUKMA 1, di sini petang tadi.
UMS FC mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Aziman Arman seawal minit ketiga dan Restu Emat di minit ke-27.
Selepas rehat, UMS FC mematikan cabaran MFC FC dengan tambahan dua gol menerusi Arlon Miranda pada minit ke-40 dan Mazhair Shahroz Muhasip di minit ke-42.
Masa sepenuh masa permainan kejohanan peringkat awal
adalah 60 minit.
Kemenangan itu menyaksikan UMS FC masuk ke saingan utama 16 pasukan terbaik manakala MFC FC bersama pasukan-pasukan yang tewas perlawanan pertama meneruskan saingan ke Piala Cabaran.
Perlawanan seterusnya dijalankan secara kalah mati.
Ketua jurulatih UMS FC, Mohd Asyraaf Fong Abdullah berkata, kemenangan itu permulaan yang baik untuk pasukannya memburu sasaran muncul juara peringkat zon Sabah.
“Kami hanya buat persiapan kira-kira tiga minggu menghadapi Kejohanan ini. Syukurlah kami menang dan menang dengan 4-0 adalah permulaan yang baik.
“Pemain bermain seperti yang dirancang dan perancangan kami menjadi. Masih ada ruang perlu diberi perhatian yang akan kami usahakan sebelum perlawanan akan datang,” kata Asyraaf ketika ditemui selepas perlawanan.
Menanti UMS FC di pusingan 16 pasukan terbaik ialah Kelab Bolasepak Majlis Daerah Keningau (MDK FC) yang turut mara dengan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Uncle Chang FC juga di padang SUKMA pada Sabtu.



