TANDAS… dipecayai tempat mangsa di serang dan disamun
LABUAN: Seorang wanita tempatan yang sedang hamil 5 bulan mengalami kerugian kira-kira RM5,500 selepas beliau di samun oleh dua lelaki dalam tandas sebuah restoran di sini, pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 11,15 pagi itu, wanita berusia 33 tahun itu baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang dari sebuah mesin juru wang (ATM) sebuah bank tidak jauh dari tempat wanita itu disamun.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa yang sedang bersendirian telah diserang secara tiba-tiba oleh dua lelaki dalam tandas sebuah restoran dan telah merampas wang tunai RM4,000 yang disimpan dalam dompet serta meragut rantai leher mangs bernilai RM1,500 sebelum berjaya melarikan diri.
“Menurut siasatan awal mangsa mengalami kecederaan lebam di tangan kiri dan kesan calar di bahagian leher serta mengalami kesakitan di bahagian kepala akibat terhantuk di dinding tandas dan terjatuh ke lantai selepas ditolak oleh salah seorang suspek” katanya dalam satu kenyataan media di sini, kelmarin.
Muhamad Farid berkata, kejadian itu disedari pekerja restoran berkenaan sebelum bertindak menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa kini masih ditahan di hospital untuk tujuan pemeriksaan lanjut namun dilaporkan dalam keadaan stabil.
Terdahulu, Muhamad Farid menasihatkan orang ramai yang melakukan urusan pengeluaran wang di pusat kewangan supaya sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan memerhati sebarang kelakukan orang yang mencurigakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil memberikan keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
TANDAS… dipecayai tempat mangsa di serang dan disamun