Datuk Rusdin Riman
KOTA KINABALU: Isu infrastruktur asas, pembangunan ekonomi luar bandar serta keadilan pembangunan menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan dalam perbahasan ucapan dasar kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Dalam perbahasan itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap aspirasi Sabah Maju Jaya, namun menegaskan kejayaan dasar tersebut perlu dinilai berdasarkan impaknya yang dirasai hingga ke kawasan pedalaman.
Menurutnya, kira-kira 45 peratus penduduk Sabah masih tinggal di luar bandar, justeru pembangunan kawasan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai isu pinggiran, sebaliknya perlu dijadikan teras utama pembangunan negeri.
“Rakyat di pedalaman tidak menuntut perkara luar biasa, sebaliknya hanya memerlukan kemudahan asas seperti jalan raya yang baik, bekalan air dan elektrik yang stabil serta peluang saksama untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa masalah infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik masih menjadi cabaran utama di kawasan Paginatan, termasuk di beberapa kampung yang belum mempunyai akses jalan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, kekangan infrastruktur bukan sahaja menjejaskan mobiliti, malah turut memberi kesan kepada akses pendidikan, kesihatan dan aktiviti ekonomi penduduk.
Beliau memaklumkan terdapat 927 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin di kawasan itu, dengan sebahagiannya berpunca daripada keterasingan fizikal akibat infrastruktur yang tidak mencukupi.
Sebagai contoh, kerosakan Jambatan Sungai Molout akibat banjir telah menjejaskan lebih 100 keluarga yang bergantung kepada laluan tersebut untuk membawa hasil pertanian ke pasaran.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang melalui kawasan Paginatan, dengan 115 rumah dikenal pasti terkesan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian skim rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) atau bayaran ex-gratia kepada penduduk yang terjejas tetapi tidak layak menerima pampasan.
Menyentuh aspek ekonomi, beliau menegaskan potensi sektor pertanian dan agro pelancongan di Paginatan perlu dimanfaatkan melalui penyediaan pusat pengumpulan hasil, akses kepada teknologi moden serta latihan keusahawanan bagi meningkatkan nilai tambah.
“Ekonomi luar bandar tidak boleh kekal sebagai ekonomi sara diri semata-mata, sebaliknya perlu diperkasa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau juga menarik perhatian terhadap penularan wabak virus yang menjejaskan sistem tagal di kawasan itu pada penghujung 2025, sambil menggesa langkah pencegahan diperkukuh memandangkan sektor berkenaan merupakan tarikan pelancongan penting.
Dalam bidang pendidikan, beliau menekankan kepentingan merapatkan jurang digital dan akses pendidikan antara bandar dan luar bandar, termasuk isu bekalan elektrik dan capaian internet yang masih terhad di beberapa kawasan.
Selain itu, beliau turut menyentuh tuntutan 40 peratus hasil Sabah, dengan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas DUN bagi menyelaras pendirian semua wakil rakyat tanpa mengira parti.
Katanya, tuntutan tersebut penting bagi meningkatkan kapasiti fiskal negeri dalam menangani jurang pembangunan, khususnya di kawasan pedalaman.
Mengakhiri perbahasan, beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat Paginatan tanpa mengira latar belakang, sambil berharap pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih seimbang dan inklusif.



