Ewon ketika menjawab soalan
KOTA KINABALU: Sektor industri hiliran sawit dan biojisim di Pusat Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu terus menjadi pemangkin peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan apabila sebanyak 1,729 jawatan diwujudkan setakat ini, dengan kira-kira 85 peratus daripadanya diisi oleh warga tempatan termasuk belia dari kawasan Lahad Datu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, setakat ini sebanyak 75 syarikat beroperasi dalam sektor tersebut melibatkan pelbagai aktiviti seperti oleokimia, biodiesel serta penghasilan produk berasaskan biojisim.
“Pembangunan pelaburan ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, malah membuka ruang pekerjaan kepada belia termasuk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam dan Parlimen Lahad Datu,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal (Silam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Menurut beliau, industri berkenaan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan merangkumi pelbagai peringkat kemahiran, termasuk operator pengeluaran dan pemprosesan, juruteknik serta penyelenggaraan mesin, penyelia operasi dan kawalan kualiti, pegawai teknikal dan kejuruteraan selain sokongan logistik, utiliti, keselamatan serta pentadbiran.
Dari segi ganjaran, katanya, purata pendapatan adalah kompetitif bergantung kepada tahap kemahiran dan pengalaman pekerja, dengan pekerja am dan operator menerima sekitar RM1,500 hingga RM2,600 sebulan, juruteknik atau penyelia antara RM2,500 hingga RM4,000, manakala pegawai teknikal atau profesional memperoleh RM4,000 dan ke atas.
Beliau berkata sektor itu turut menyediakan laluan perkembangan kerjaya yang jelas kepada belia tempatan, membolehkan mereka meningkatkan tahap pekerjaan daripada operator kepada penyelia dan seterusnya ke peringkat teknikal atau pengurusan melalui pengalaman serta latihan berterusan.
Menjawab soalan tambahan mengenai cadangan penubuhan pusat latihan khusus di Lahad Datu, beliau berkata kerajaan negeri melalui POIC akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi latihan dan institusi kemahiran bagi menyediakan program pensijilan serta peningkatan kemahiran (upskilling dan reskilling).
“Buat masa ini belum ada cadangan khusus untuk mewujudkan pusat latihan satelit, namun kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan pihak industri akan terus dipertingkat bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau menambah, ekosistem industri sedia ada di POIC Lahad Datu juga telah mewujudkan rantaian bekalan yang memberi peluang kepada usahawan tempatan, termasuk belia, untuk terlibat dalam aktiviti sokongan industri berkenaan.



